top of page
  • Farid Johan

UMNO tarik balik sokongan kepada Kerajaan PN, Mahiaddin hilang majoriti



3 Ogos 2021

Oleh Farid Johan


KUALA LUMPUR: UMNO sebulat suara menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Mahiaddin Yasin selaku Perdana Menteri.


Presidennya Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong.


Beliau berkata, ia sekaligus menunjukkan kepimpinan Mahiaddin sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.


Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi secara maya pada 3 Ogos (hari ini) telah membuat beberapa ketetapan antaranya penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin.


“UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.


“Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong.


“Malah mempersendakan baginda yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(31) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Ahmad Zahid berkata, bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.


”Tan Sri Mahiaddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat,” katanya.

bottom of page