UMS – HDOK laksana Program Tanaman Terapi bagi pesakit rehabilitasi Mentari Elopura
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

11 Disember 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) melaksanakan Program Tanaman Terapi sebagai inisiatif pemulihan berasaskan alam untuk pesakit rehabilitasi Mentari Elopura.
Program yang diterajui Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HDOK bersama Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS Kampus Sandakan itu bertujuan memperkenalkan pendekatan terapi berasaskan aktiviti pertanian bagi meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal pesakit.
Penasihat Program Komuniti UMS–HDOK, Dr. Siti Suliza Salamat berkata, tanaman dipilih sebagai medium pemulihan kerana sifatnya yang menenangkan, mudah diurus dan mampu membantu pesakit membina rutin harian yang positif.

“Pesakit berpeluang belajar mengurus emosi, meningkatkan fokus dan membina keyakinan diri apabila melihat hasil usaha mereka sendiri.
“Program ini dilaksanakan selama tiga bulan bermula 1 September hingga 30 November 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, program itu turut mengukuhkan hubungan strategik antara UMS dan institusi kesihatan, di samping memperkasakan peranan universiti sebagai rakan komuniti dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Sementara itu, Pegawai Perubatan HDOK merangkap Penyelaras Program Terapi Pesakit Mentari, Dr. Rozelle Ashwini Walters berkata, lapan pesakit rehabilitasi bersama 11 petugas kesihatan terlibat dalam siri lawatan dan sesi perkongsian ilmu yang dijalankan sepanjang program.
Menurutnya, pembelajaran dalam persekitaran alam semula jadi membantu meningkatkan motivasi, tumpuan serta interaksi sosial pesakit.
Jurupulih Perubatan Carakerja HDOK yang juga pengurus aktiviti tanaman terapi, Abd Malik Talinasis berkata, pendekatan itu menunjukkan potensi besar sebagai kaedah sokongan pemulihan yang praktikal dan mudah diaplikasi.
“Melihat perkembangan positif pesakit, kami berharap program ini dapat diteruskan serta diperluas supaya lebih ramai pesakit mendapat manfaat,” katanya.
Pada 17 November lalu, peserta program turut mengikuti lawatan pembelajaran ke Fakulti Pertanian Lestari UMS Sandakan yang merangkumi pendedahan kepada ternakan lembu, kambing dan arnab, vermikompos serta lawatan ke plot tanaman getah dan kopi. Sesi fotografi di mercu tanda UMS Sandakan berhampiran Tasik FPL turut menjadi sebahagian pengisian program.
Kemuncak program menyaksikan pembentangan perkembangan Projek Tanaman Terapi, di mana pesakit berjaya mengusahakan tanaman seperti taugeh, sawi, kangkung serta tanaman dalam tong seperti serai, kunyit dan ubi keledek hasil bimbingan berterusan tenaga pengajar.
Pelaksanaan program itu turut disokong barisan pensyarah dan kakitangan FPL UMS Sandakan termasuk Prof. Madya Dr. Azwan Awang, Dr. Nurul Mayzaitul Azwa Jamaludin dan Dr. Nur Aainaa Hasbullah, bersama Pegawai Ladang Hamdy Roslie, Pembantu Khidmat Johari dan Pembantu Penyelidik Syamil Akmal Kamis.
FPL dalam kenyataan berkata, pihaknya berharap kerjasama tersebut dapat dijadikan model pemulihan komuniti yang mengintegrasikan alam, pendidikan dan nilai kemanusiaan, di samping mempromosikan pertanian sebagai bidang berpotensi menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.


















Comments