UMS Tekankan Inovasi Aquafeed Sebagai Asas Keterjaminan Makanan dan Ekonomi Biru
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 2 min read

22 Disember 2025
KOTA KINABALU: Inovasi dalam pembangunan aquafeed atau makanan akuakultur merupakan asas penting dalam memastikan keterjaminan makanan, kelestarian sektor akuakultur serta daya maju ekonomi biru negara.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, ketika perikanan tangkapan tradisional terus mengalami kemerosotan dan akuakultur berkembang pesat, aspek pemakanan menjadi teras kepada pengeluaran akuakultur yang mampan.
“Pemakanan akuakultur merupakan bidang yang kompleks dan memerlukan pemahaman mendalam terhadap kandungan bahan mentah, strategi formulasi makanan, keperluan nutrien spesies ternakan serta pencarian alternatif lestari kepada penggunaan tepung ikan dan minyak ikan.

“Apa yang diberikan kepada spesies akuatik akan menentukan pertumbuhan, kesihatan, kesan terhadap alam sekitar dan akhirnya daya maju ekonomi sektor akuakultur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya sempena Majlis Syarahan Perdana oleh Profesor Dr. Rossita Shapawi yang bertajuk Aquafeed: What You Feed Is What You Harvest, berlangsung di Dewan Bankuasi, UMS baru-baru ini.
Tambah Kasim, landskap industri akuakultur masa kini turut dibentuk oleh pelbagai inovasi baharu termasuk penggunaan protein serangga dan bahan berasaskan alga, yang dilihat mampu menawarkan penyelesaian terhadap cabaran kelestarian jangka panjang industri tersebut.

“Penilaian fizikal, kimia dan biologi terhadap prestasi makanan akuakultur adalah penting dalam menghasilkan formulasi aquafeed yang lebih berkesan, selari dengan keperluan kelestarian, kemajuan teknologi dan dinamik pasaran global,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi ketika menyampaikan syarahannya berkata, kualiti aquafeed memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan ikan, kejayaan pengusaha akuakultur serta kualiti makanan untuk pengguna.
“Aquafeed memainkan peranan yang penting dalam akuakultur, kualiti makanan yang diberikan akan menentukan kesihatan ikan, kejayaan penternak dan kesejahteraan pengguna.
“Dalam akuakultur, apa yang diberi itulah yang akan dituai,” katanya.
Ujar beliau sektor perikanan tangkapan tradisional kini berdepan pelbagai cabaran, justeru akuakultur dilihat sebagai alternatif mampan bagi memenuhi keperluan makanan global yang semakin meningkat.
Hadir sama dalam majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail.














