top of page

UNESCO iktiraf Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

29 September 2025


KOTA KINABALU: Malaysia melakar kejayaan baharu dalam pemeliharaan biodiversiti apabila Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) secara rasmi mengiktiraf Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera negara terbaharu.


Pengiktirafan itu diumumkan pada mesyuarat Majlis Penyelaras Antarabangsa Program Manusia dan Biosfera (MAB) di Hangzhou, China pada 27 September lalu.


Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi kenyataan berkata, Kinabatangan kini menjadi tapak rizab biosfera keempat di bawah program MAB UNESCO selepas Tasik Chini, Pahang (2009), Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang (2021).


“Malaysia berbangga dengan pencapaian serta pengiktiran diberikan UNESCO kepada dua tapak rizab biosfera Malaysia di Sabah di bawah program MAB iaitu Kinabatangan.


“Selain itu, rizab biosfera Banjaran Crocker yang melepasi proses penilaian semakan berkala (periodic review) selepas 10 tahun diiktiraf pada 2014 berjaya mengekalkan status sebagai tapak rizab biosfera UNESCO," katanya.


NRES selaku pusat tumpuan nasional kepada program MAB turut merakamkan tahniah kepada kerajaan negeri atas pengiktirafan tersebut.


Kejayaan ini katanya adalah hasil komitmen dan dedikasi pelbagai kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak industri serta komuniti setempat dalam mengurus kawasan berkepentingan biodiversiti.


“NRES yakin kerajaan negeri Sabah akan terus komited dalam usaha memperkukuh usaha pemeliharaan biodiversiti dan mengurus pembangunan secara mampan, selaras dengan pelaksanaan Sabah Biodiversity Strategy 2024–2034.


“Langkah berterusan ini akan memastikan status pengiktirafan antarabangsa dapat dikekalkan, sekali gus menjadikan Sabah sebagai model kejayaan harmonisasi antara manusia dan alam semula jadi,” katanya.


Dalam pada itu, NRES turut menyambut baik usaha diambil oleh kerajaan negeri pada masa akan datang untuk mencalonkan kawasan yang berpotensi sebagai tapak MAB atau tapak berkepentingan biodiversiti antarabangsa, selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030.


Rizab biosfera Kinabatangan yang berkeluasan 413,866 hektar dan terletak sepanjang 560 kilometer jajaran Sungai Kinabatangan merupakan habitat penting kepada 315 spesies burung, 100 reptilia, 33 amfibia, 127 mamalia dan lebih 1,000 tumbuhan vaskular.


Tapak itu menjadi habitat kepada spesies endemik, jarang ditemui serta terancam seperti orang utan (Pongopygmaeus), gajah borneo (Elephas Maximudborneensis), monyet belanda (Nasalis Larvatus), beruang matahari (Helarctos Malayanus) dan lapan spesies burung enggang Sabah.


Pengiktirafan rizab biosfera Kinabatangan turut menyokong pemeliharaan dialek Sungai yang kini disenaraikan sebagai terancam genting (Critically Endangered) oleh UNESCO Atlas of the World’s Languages in Danger.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page