- nabalunews
Universiti awam, swasta diminta terbabit misi bantu rawat, pendidikan rakyat Palestin
20 August 2024
KUALA LUMPUR: Universiti awam dan swasta di negara ini akan dibabitkan dalam misi membantu rakyat Palestin, khususnya bagi membawa lebih ramai pelajar yang terjejas untuk meneruskan pengajian di Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata selain bantuan kewangan untuk kelangsungan hidup, tumpuan kepada pembangunan semula pendidikan bagi rakyat Gaza juga perlu segera digerakkan.
"Selain membicarakan mengenai (nasib) rakyat Palestin dengan pembunuhan berterusan di sana, perlu digerakkan inisiatif untuk membangunkan semula Gaza, dari aspek pendidikan.
"Ini adalah perkara yang sangat asas dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuka lebih banyak ruang, bukan hanya untuk (bawa mereka ke Malaysia) bagi mendapatkan khidmat perubatan tetapi memberikan ruang pendidikan.
"Ini komitmen Malaysia dan kita akan teruskan usaha ini," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Dr Zambry berkata demikian pada Perbincangan Meja Bulat bertajuk: "From Destruction to Reconstruction: Empowering Gaza's Education," di Bangunan Azman Hashim, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Maszlee Malik; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Ahli Lembaga Organisasi Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO), Prof Dr Md Roslan Hashim dan Naib Canselor UM, Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
Zambry berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan sebilangan Naib Canselor universiti awam dan swasta bagi mengambil langkah wajar ke arah itu.
"Saya beritahu dalam perjumpaan semalam dengan sebilangan Naib Canselor supaya mereka ambil langkah (membantu rakyat Gaza). Ada dalam kalangan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) yang ada hospital sendiri. Maknanya mereka boleh bantu (misalnya) 127 penduduk Gaza yang sudah dibawa ke sini untuk dirawat.
"Jadi tidaklah mereka ini hanya ditempatkan di hospital awam. Jadi saya menggesa universiti yang ada hospital, beri ruang kepada mereka (rakyat Gaza yang memerlukan rawatan)," katanya.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama, Zambry berkata, penduduk di Gaza bukan hanya memerlukan pendidikan asas, tetapi hak mereka untuk akses kepada pengajian di institusi pendidikan tinggi juga perlu diberi perhatian.
"Penduduk Gaza meletakkan nilai yang sangat besar bukan sahaja pada pendidikan asas tetapi hingga ke pendidikan tinggi. Mereka tetap berusaha untuk mencapai kecemerlangan akademik walaupun menghadapi kesukaran yang tidak dapat dibayangkan.
"Lebih menakjubkan, kadar literasi penduduk di Gaza adalah paling tinggi di dunia iaitu pada kadar 96.8 peratus, lebih tinggi daripada purata kategori Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan dari 1993 hingga 2011, kadar enrolmen pelajar Gaza di peringkat pendidikan tinggi meningkat sebanyak 940 peratus.
"Semua ini adalah bukti komitmen mendalam rantau ini terhadap ilmu pengetahuan dan pembelajaran," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), kerajaan sebelum ini meluluskan dana AS$3.87 juta bagi membiayai yuran pengajian dan bantuan kewangan bulanan kepada pelajar Palestin di Malaysia bagi tempoh setahun.
Malah, jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mempertimbangkan bantuan tambahan sekiranya diperlukan.
"Di samping itu, kerajaan Malaysia akan menyerap yuran lain berkaitan universiti lain, berjumlah AS$1.13 juta.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memastikan pelajar Palestin dapat meneruskan pendidikan mereka tanpa menanggung beban kewangan," katanya.
コメント