top of page
  • nabalunews

Kebolehpasaran lulusan TVET meningkat - Ahmad Zahid


24 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Kadar kebolehpasaran pelajar yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setakat ini berada sekitar 97.4 peratus, hasil kolaborasi pemain industri dan institusi TVET.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata jumlah itu merupakan peningkatan daripada 94.5 peratus yang dicatatkan tahun lepas.


“TVET kita jadikan sebagai agenda merentasi kaum dan politik. Kita merasakan TVET bukan satu ekosistem pendidikan yang baharu, di mana kita mahu guna tenaga di negara kita ini berada di situasi guna tenaga penuh.


“Kita dapati dari segi peluang pekerjaan memang banyak, tetapi industri memerlukan pekerja-pekerja yang berkemahiran dan TVET adalah jawapannya untuk menyediakan kursus-kursus yang berkaitan dengan industri agar mereka terus dapat masuk ke pasaran,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program Eksplorasi TVET @WTC di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.


Program Eksplorasi TVET adalah antara usaha berterusan kerajaan dalam mengekalkan momentum kesedaran dan minat rakyat terhadap bidang TVET.


Program bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, mengetengahkan konsep gerbang maklumat latihan dan pekerjaan.


Pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat dan pengalaman berkaitan bidang TVET yang ditawarkan oleh institusi TVET serta potensi laluan kerjaya dalam bidang tersebut.


Sementara itu, ditanya mengenai cadangan agar Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan sekolah sendiri, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk meneliti dan membuat perincian.


Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam ucapan dasar pada perhimpunan agung parti itu mencadangkan agar MARA melengkapkan ekosistem pendidikan dengan membuka sekolah rendah bagi memastikan agenda membangunkan generasi masa hadapan dapat digarap dengan silibus pembangunan modal insan yang mantap.

Comentarios


bottom of page