top of page
  • nabalunews

Upko gesa kerajaan henti tindakan cetus ketidakharmonian, kekeliruan kaum


Datuk Seri Panglima WIlfred Madius Tangau

8 Sept 2021


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progressif Bersatu (UPKO) menggesa kerajaan untuk tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dan kekeliruan kaum dan sebaliknya fokus dalam memastikan kebajikan setiap keluarga di negara ini terjaga dan kesusahan mereka terbela.


Presidennya, Datuk Seri Panglima Datuk Wilfred MAdius Tangau berkata, apa yang diperlukan pada saat ini adalah rasa empati, saling memahami dan mengutamakan belas kasihan daripada setiap orang terutama pada masa-masa yang genting ini agar dapat mengharungi pandemik ini.


"Semua tenaga dan sumber harus difokuskan kepada pemulihan ekonomi dan kesihatan terutama untuk mendepani semua cabaran akibat pandemik Covid-19.


"Pengumuman oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaari mengenai salah satu dari empat undang-undang syariah baru yang sedang dirangka dan akan diperkenalkan iaitu RUU 'Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam' telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.


"Pengumuman ini telah menimbulkan kebimbangan dan pelbagai reaksi terutama daripada masyarakat bukan Islam kerana alas an RUU yang diusulkan adalah untuk 'mengawal dan mengehadkan perkembangan agama-agama bukan Islam' bertujuan untuk memperkuat undang-undang syariah sebagai sebahagian daripada 'Pelan Pemerkasaan' kerajaan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.


Tambahnyam, timbalan menteri itu tidak seharusnya membuat pengumuman seperti itu tanpa memberikan penjelasan yang tepat mengenai tujuan, pelaksanaan dan keperluan RUU tersebut.


"Kami menghargai dan menghormati peruntukan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan negeri-negeri dan wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk menggubal undang-undang persekutuan bagi mengawal dan menyekat penyebaran doktrin agama selain daripada agama Islam kepada orang Islam.


"Namun, kerajaan dan timbalan menteri khususnya seharusnya sedar bahawa, kebanyakan masyarakat bukan Islam tidak memahami ataupun menyedari kewujudan undang-undang Syariah tersebut sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, dan hanya ditujukan kepada orang beragama Islam.


"Keadaaan inilah yang menyebabkan timbul kebimbangan dan kekeliruan apabila pengumuman mengejut dibuat kerana rang undang-undang atau pindaan tersebut secara tidak langsung seakan-akan melanggar hak perlembagaan orang bukan Islam untuk menganut dan mempraktikkan agama mereka serta hak untuk menyebarkan agama masing-masing dalam kalangan masyarakat bukan Islam," ujarnya.


Madius yang juga Ahli Parlimen berkata hidup bermasyarakat daripada berbilang kaum dan hubungan yang harmoni serta damai yang telah terjalin dan diperjuangkan selama ini adalah terhasil daripada sikap saling hormat-menghormati, bertoleransi, dan persefahaman bersama.


Jelas beliau, pemimpin politik mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan bahawa hubungan harmoni ini berterusan dan tidak menjadi pemangkin kepada keadaan yang menimbulkan kekeliruan dan ketidaktenteraman sehingga boleh mempengaruhi ikatan yang dibina bersama selama ini.


"Sebagai seorang timbalan menteri, sekiranya beliau merasakan perlu membuat pengumuman seperti itu, perlu siap siaga untuk turut memberikan penjelasan yang menyeluruh dan terperinci mengenai keperluan pindaan yang dicadangkan.


"Tindakan beliau untuk melakukan pengumuman tersebut pada hemat saya mencerminkan bahawa seorang timbalan menteri telah gagal untuk menilai tindakan yang akan menimbulkan kekeliruan dan kemarahan.


"Tambahan pula, saat ini negara sedang berhempas pulas dengan peningkatan jangkitan dan kematian harian akibat Covid-19; dan rakyat bukan sahaja menderita dalam aspek ekonomi dan lebih ramai yang bersusah payah demi sesuap nasi, keadaan ini membuatkan kita tertanya-tanya di mana letaknya keutamaan kerajaan.


"Di samping semua ini, Perdana Menteri baharu ini juga yang tampil untuk mengajak semua rakyat menyertai beliau dan kerajaannya untuk menyelamatkan 'Keluarga Malaysia'," katanya.

Hozzászólások


bottom of page