UPKO GESA MUHYIDDIN CARI PENYELESAIAN POLITIK ANTARA PARTI GANTI DARURAT
18 Feb 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mencari penyelesaian politik antara parti bagi menggantikan Darurat sebagai asas kepada kelangsungan kerajaan persekutuan pimpinan beliau.
Dalam surat terbuka Presiden UPKO yang juga Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, Timbalan Presiden UPKO Senator Datuk Donald Mojuntin dan Naib Presiden UPKO yang juga Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick kepada Perdana Menteri, mereka berpendapat tiada justifikasi yang munasabah untuk meneruskan perintah Darurat susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut mereka, undang-undang sedia ada termasuk PKP atau PKPB sudah memadai untuk menangani wabak Covid-19.
"Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari memberikan alasan untuk pengisytiharan Darurat sebagai “satu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) ”.
"Sekiranya Darurat masih diteruskan setelah berakhirnya PKP 2.0, ia perlu diberikan satu justifikasi berdasarkan bukti oleh Jawatankuasa Khas Bebas yang diketuai bekas ketua hakim Arifin Zakaria, yang dilantik oleh Kerajaan pada 9 Februari," katanya.
Melalui surat terbuka itu, penyelesaian demokratik dan dapat bertahan ialah gencatan senjata politik antara pihak kerajaan dan pembangkang melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), yang akan membolehkan Kerajaan memerintah tanpa kebimbangan akan digulingkan.
Menurut tiga pemimpin UPKO itu, jika dipersetujui, gencatan politik boleh dilaksana sehingga 16 Jun 2023, iaitu tarikh Parlimen akan bubar secara automatik, supaya Perdana Menteri dapat memberi tumpuan terhadap pengurusan pandemik dan ekonomi sepanjang penggal Parlimen ke-14.
Sementara itu, Ewon berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit sudah memadai untuk menangani pandemik Covid-19 dan tidak perlu pengisytiharan Darurat.
"Kita sudah berhadapan dengan pandemik lebih satu tahun dan dalam tempoh ini kita telah melaksanakan PKP, pada saya akta itu sudah cukup untuk menangani pandemik Covid-19 dan tidak perlu darurat," katanya.
Comments