UPKO hadiri Mesyuarat Majlis Presiden PH buat pertama kali
- Wartawan Nabalu News
- Oct 25, 2021
- 1 min read

25 Oktober 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) buat pertama kalinya menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) selepas parti itu menyertai PH pada Ogos lalu.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu pejabat PKR Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Setiausaha Agung UPKO Nelson Angang berkata, parti itu menyertai PH demi memastikan aspirasi bagi sebuah Persekutuan yang menghormati desentralisasi kuasa, progresif dan berbilang budaya dapat dipenuhi.
“Adalah penting untuk bersama-sama dalam sebuah kesepakatan yang tepat dalam perjuangan mendukung semangat untuk memberi dan melaksanakan pelayanan terbaik untuk semua rakyat Malaysia.

“Justeru, UPKO berpendirian bahawa kesepakatan parti-parti dalam gabungan PH adalah selari dengan aspirasi tersebut.
“Dalam menjadi salah satu parti komponen PH akan memastikan UPKO dapat menyumbang idea-idea dari perspektif dan sudut pandangan adunan Borneo,” katanya dalam perkongsiannya melalui facebook, hari ini.
Nelson berkata, Pembuatan keputusan mengenai perkara-perkara penting lazimnya berpusat di peringkat Persekutuan.
“Polisi-polisi dan dasar yang dibuat seringkali tersasar daripada keperluan serta kesesuain demografi Sabah.
“Oleh itu UPKO berperanan dalam memastikan perkara ini dapat diperbaiki dan diperhalusi dengan rakan-rakan diperingkat persekutuan yang mempunyai sifat keterbukaan untuk mendengar dan menerima pendapat serta idea yang diberikan, sebab itu kerjasama serta kesepakatan yang utuh di peringkat Persekutuan amat penting,” katanya.
Beliau berkata, Pakatan Harapan adalah satu gabungan parti-parti progresif yang menghormati, memahami, dan berkongsi aspirasi yang sama dalam perjuangan berterusan UPKO dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini adalah satu kesepakatan yang tepat bagi UPKO untuk meneruskan perjuangan dalam memastikan MA63 direalisasikan sepenuhnya,” katanya.


















Comments