UPKO: Jangan jadikan penerima vaksin sebagai asas pemberian kewarganegaraan

18 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UPKO Joisin Romut berkata kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr. Ismail Mohamed Said bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan pemberian kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin Covid-19 di Sabah dan Sarawak yang masih belum memiliki identiti diri amat menggusarkan.
Katanya usaha-usaha untuk mengenalpasti individu-individu yang tidak berdokumen bagi penduduk asal Sabah atau Sarawak untuk diproses dokumentasi pengenalan diri disokong penuh, namun pemberian kewarganegaraan dan pengenalan diri berasaskan kriteria telah menerima vaksin adalah sangat tidak wajar, tidak berasas dan membuka ruang salah guna kuasa serta kesilapan.
"Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri sangat merisaukan rakyat khususnya di Sabah kerana seperti diketahui umum, masalah kewarganegaraan di Sabah penuh dengan kontroversi.
"Berita ini kita terima dalam suasana yang kita baru menyambut hari ulang tahun Pembentukan Malaysia pada 16 September dan rakyat Sabah pula dihidangkan dengan hadiah yang menakutkan dan mengelirukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, Ismail semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Rakyat Sibuti Lukanisman Awang Sauni memaklumkan bahawa Sarawak KDN telah mewujudkan jawatankuasa khas status warganegara bagi meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah.
Ismail turut memaklumkan bahawa pemberian dokumen kewarganegaraan bagi Negeri Sabah di dalam perbincangan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS).
"Kenyataan ini mengundang banyak persoalan kerana daripada kenyataan Timbalan Menteri KDN ternyata bahawa mereka sedang menjalankan pemberian identiti dan kewarganegaraan.
"Perkara yang lebih menggusarkan ialah kenyataan bahawa bagi pelaksanaan di Negeri Sabah dibincangkan di JKPWAS yang mana calon-calon penerima dokumen besar kemungkinan dari kalangan warga asing," ujar Joisin.
Menurutnya, isu pendatang asing dan kewarganegaraan telah menjadi isu dominan semasa Pilihanraya Negeri Sabah ke-16 (PRN16) dan kemenangan dalam pilihanraya tersebut dikaitkan dengan janji-janji penyelesaian masalah kebanjiran pendatang asing.
"Ke mana perginya janji-janji tersebut? Pas Sementara Sabah (PSS) telah dibantah dengan hebatnya sehingga dibatalkan tetapi pemberian kewarganegaraan yang membuka ruang yang bakal penerimanya termasuk warga asing adalah lebih teruk daripada PSS dan wajar dibantah habis-habisan.
"Pendirian UPKO adalah konsisten bahawa UPKO menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah guna kuasa dan pemberian kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak.
"UPKO percaya dan konsisten bahawa hanya satu sahaja jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang meragukan iaitu dengan menarik balik semua kad pengenalan dan mengeluarkannya semula hanya kepada mereka yang benar-benar layak," tegasnya.
Dalam pada itu, Joisin menyeru agar KDN tidak menggunakan penerima vaksin sebagai kriteria pemberian dokumen warganegara dan berfokus kepada peyelesaian dokumentasi kewarganegaraan kepada orang asal Sabah yang bermasalah dokumen pengenalan diri.
Comments