UPKO mesti menjadi pemudahcara kepada isu rakyat - Ewon
15 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PAPAR: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu harus menjadi pemudahcara kepada penyelesaian isu-isu rakyat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi meminta semua Bahagian UPKO memantau pelaksanaan dan inisiatif Bajet 2024 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya berkaitan pembangunan Sabah supaya dapat dilaksanakan dengan baik untuk manfaat rakyat.
“Soal infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan, Pan Borneo, elektrik, air dan telekomunikasi dibangkitkan oleh para perwakilan dalam konvensyen ini.
“Saya minta Bahagian UPKO memantau pelaksanaan dan inisiatif Bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen UPKO Zon D (Papar, Kimanis dan Beaufort), di Dewan Biau, di sini, hari ini.
Ewon berkata, UPKO harus menjadi parti yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah yang ada nilai kepada rakyat, menjadi pemudahcara dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini.
Selain isu infrastruktur, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk Saman Pemula (OS) yang diambil oleh wakil rakyat PH termasuk Ewon juga turut dikemukakan oleh para perwakilan UPKO dalam konvensyen itu.
Beliau berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah menarik balik saman pemula bagi mendapatkan satu perintah mahkamah supaya kerajaan Persekutuan memperakui dan memberikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam perlembagaan setelah dua daripada tiga tuntutan itu diselesaikan.
“Kita telah menarik balik OS itu selepas dua daripada tiga perkara yang kita tuntut itu telah diselesaikan.
“Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah dipinda dan diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini yang membolehkan seorang wakil daripada kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah LHDN.
“Ini akan membolehkan kerajaan Sabah dan Sarawak mengetahui maklumat pencapaian hasil yang dipungut oleh persekutuan. Ini antara tiga perkara yang kita bawa ke Mahkamah dan telah diselesaikan.
“Perkara kedua berkenaan Warta Kerajaan pada April 2022, kita cabar kesahihan dari segi perlembagaan dan kelmarin mesyuarat kabinet telah bersetuju untuk mengeluarkan warta baharu dan dalam pengumuman bajet 2024 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyatakan bahawa RM300 juta hanya pemberian khas interim.
“Pemberian khas interim ini adalah pertama kali dinyatakan Perdana Menteri yang tidak pernah disebut oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini. Hanya Datuk Seri Anwar yang pertama menyebut pemberian khas interim.
“Ini bererti, ia hanya penyelesaian sementara menunggu penyelesaian dan perkara kedua sudah selesai.
“Ketiga pembayaran semula 40 peratus, dengan adanya wakil Sabah dalam LHDN, kita tahu jumlah kutipan itu dan mudahlah bagi kita bergerak ke peringkat seterusnya mengenai soal tuntutan,” katanya.
Ewon berkata, kerajaan telah memutuskan tempoh masa pemuktamadan setahun (Julai 2023-Julai 2024) bagi perkara ketiga berkaitan pelaksanaan pemberian semula hasil persekutuan 40 peratus.
“Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Datuk Armizan Ali harus tampil dengan satu cadangan atau formula untuk diangkat kepada Jawatankuasa Teknikal dimana saya menjadi anggota dan kita akan putuskan dan maklumkan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Comentarios