top of page
nabalunews

UPKO Ranau meneruskan pelayanan di akar umbi, ziarah kasih warga emas Kampung Kilimu

26 Ogos 2024


RANAU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau meneruskan pelayanan di peringkat akar umbi dengan mengadakan ziarah kasih untuk menyantuni beberapa warga emas di Kampung Kilimu.


Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UPKO untuk mendekati dan membantu golongan yang memerlukan dalam masyarakat.


Dalam program ziarah kasih ke Kampung Kilimu, Ketua UPKO Bahagian Ranau, Puan Georgina George berkesempatan bertanya khabar dan beramah mesra dengan warga emas yang diziarahi.


Beliau turut memberikan sumbangan wang tunai bagi membantu mereka menampung keperluan harian.


Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima-penerima bantuan.


Antara warga emas yang menerima sumbangan dalam program ini ialah Jauyah Gadis, Gisong Galawis, Liun Labasa dan Dickson Madusin.


Masing-masing melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan serta bantuan yang dihulurkan oleh pihak UPKO.


Georgina menegaskan bahawa ziarah seperti ini akan terus diadakan secara berkala bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak dipinggirkan.


"Kami di UPKO komited untuk terus membantu masyarakat, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik. Semoga sumbangan kecil ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka," ujar beliau.


Program ziarah kasih ini juga dilihat sebagai satu platform untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, serta membina semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran hidup.

コメント


bottom of page