top of page

UPKO sokong Kerajaan Sabah memuktamadkan tuntutan 40%

Wartawan Nabalu News


28 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebulat suara menyokong penuh langkah Kerajaan Sabah memuktamadkan tuntutan 40 peratus kepada Kerajaan Persekutuan.


Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, rundingan mengenai perkara ini perlu diteruskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sama ada untuk menetapkan kadar pemberian khas dan memuktamadkan isu pembayaran hasil 40% kepada Sabah seperti yang dinyatakan dalam perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

 

“Saya menghargai usaha Kerajaan Negeri yang telah mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.


“Langkah ini amat positif ke arah usaha penyelesaian isu yang telah berlanjutan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan media, selepas mempengerusikan  mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO, di sini, hari ini.


Baru-baru ini, Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh berkata Kerajaan Sabah telah menjalankan tugas secara profesional dan berdedikasi dalam usaha menuntut pemberian khas sebanyak 40 peratus.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, UPKO mengalu-alukan kenyataan Peguam Besar Sabah berkaitan perkembangan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan, komitmen Kerajaan Perpaduan dan kesediaan Kerajaan Negeri untuk terus mengadakan rundingan berkaitan perkara ini.


“Saya akan memainkan peranan bagi membantu merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Kerajaan Sabah menjayakan tuntutan ini melalui platform-platform yang saya anggotai melalui Kabinet Persekutuan, Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal MA63,” katanya.

 

Beliau berharap, agar semua pemimpin di negeri ini terus bersatu hati untuk sama-sama memperjuangkan tuntutan ini demi kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.


“Saya juga berharap agar Kerajaan Negeri dapat mengadakan taklimat khas dari masa ke semasa bersama ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah untuk memberi penjelasan yang lebih terperinci dan memaklumkan perkembangan terkini berkaitan tuntutan ini,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page