- Wartawan Nabalu News
UPKO terima 50 ahli baharu dari Kg Ansuan, Telupid
28 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TELUPID: Penyertaan rakyat ke dalam Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menunjukkan parti itu semakin diterima baik dan diyakini dapat memperjuangkan aspirasi rakyat.
Baru-baru ini UPKO Bahagian Telupid menerima lebih 50 borang keahlian baharu dari Kampung Ansuan di sini.
Ketua Bahagian UPKO Beluran merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Pusat UPKO, Felix Joseph Saang, yang hadir dalam majlis penyerahan borang keahlian tersebut, menyatakan rasa syukur atas sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat Telupid.
Beliau yakin dengan peningkatan jumlah ahli ini, UPKO akan dapat memperkuatkan lagi sokongan di peringkat akar umbi di daerah Telupid.
Felix turut menekankan bahawa sokongan yang kian bertambah ini akan menjadi pembakar semangat bagi UPKO untuk terus bekerja keras dan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
Majlis penyerahan borang keahlian tersebut turut dihadiri oleh beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian UPKO Beluran dan pemimpin-pemimpin akar umbi dari kampung-kampung berhampiran.
Dengan sokongan yang semakin kukuh, UPKO optimis bahawa mereka dapat meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang dan membawa perubahan yang lebih baik bagi rakyat Sabah, khususnya di kawasan Telupid.
Comments