top of page

UPKO tidak lupa Warisan, walau dalam PH: Madius

  • Writer: Marryan Razan
    Marryan Razan
  • Sep 4, 2021
  • 2 min read

ree

4 September 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi dalam Pakatan Harapan (PH) tidak bermakna melupakan Warisan sebagai rakan lama dalam blok pembangkang di Sabah.


Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, ini kerana Upko dan Warisan masih bersama-sama di peringkat negeri sebagai blok pembangkang.


“Kita (Upko dan Warisan) blok pembangkang dan kita masih bersama-sama diperingkat negeri Sabah. Datuk Seri Shafie Apdal adalah ketua pembangkang di Sabah dan kita masih bersama beliau.


“UPKO masih bersama Warisan di peringkat negeri dan gabungan dengan PH membawa harapan agar isu-isu di Sabah dapat dibawa ke peringkat nasional sekaligus dapat memperkukuhkan blok pembangkang,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam webinar Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan PH di laman Facebook UPKO Malaysia, pada malam Jumaat.


UPKO sebelum ini pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) dan mengambil keputusan keluar daripada BN selepas PRU14. Parti itu kemudiannya bekerjasama dengan Warisan menubuhkan kerajaan pada 2018. Pada 26 Ogos lalu, UPKO secara rasmi menjadi parti komponen baharu PH.


Madius berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksi orang ramai apabila UPKO menyertai PH. Ramai yang memberikan pandangan positif tetapi ada juga yang berpendapat lebih baik UPKO bersama-sama mewujudkan satu gabungan parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak dan ini seolah-olah menunjukkan UPKO meningalkan rakan lama Warisan dalam menyertai PH.


Madius berkata, keputusan menyertai PH bukan satu tindakan yang tergesa-gesa sebaliknya ia sudah lama difikirkan.


“Kita telah memikirkan untuk menyertai PH sejurus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, sebagai satu alternatif kepada rakyat yang membawa imej kepelbagaian kaum.


“Dalam hal langkah yang kita ambil sebenarnya bukan sesuatu yang baru kita fikir, pada tahun 2018 itu setelah kita bersama dengan parti Warisan menubuhkan kerajaan negeri Sabah memang kita sudah menerima PH rakan-rakan kita.


“Kita menjadi anggota PH di peringkat nasional dengan harapan semua isu Sabah dapat diangkat sebagai isu nasional untuk mencari penyelesaian,” katanya.


Madius berkata, dalam blok pembangkang tidak seharusnya berlaku perselisihan, sebaliknya bersatu padu menambah bilangan blok pembangkang.


“Kita di blok pembangkang janganlah kita berselisih faham, sebab terlalu banyak tenaga yang kita gunakan untuk menyelesaikan masalah dalaman dalam parti pembangkang.


“Sepatutnya kita gunakan tenaga ini untuk memperkukuhkan dan memperluaskan lagi bilangan dalam blok pembangkang. Itulah langkah yang kita ambil, dan masa yang kita ambil untuk menyertai PH adalah tepat pada masanya.


“Kita juga telah menyampaikan beberapa perkara yang diangkat melalui PH supaya dapat dipertimbangkan sebagai satu bentuk kerjasama. Kita harap dengan cara itu dapat memberi sumbangan positif ke arah pembinaan negara bangsa secara menyeluruh,” katanya.


Webinar itu turut disertai para pemimpin dan ahli-ahli UPKO, DAP dan PKR termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page