top of page

Urustadbir proklamasi dan Ordinan Darurat menyerlahkan kepincangan kepimpinan Muhyiddin - Ewon

  • nabalunews
  • Aug 1, 2021
  • 5 min read

Datuk Ewon Benedick

1 Ogos 2021


1. Saya terpanggil menyatakan pandangan bertulis saya berkenaan dengan urustadbir proklamasi & ordinan darurat yang berkuatkuasa sejak 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.


3. Terdahulu ini, saya telah menyatakan pandangan lisan dalam webinar Upko sebentar tadi berkaitan dengan Darurat dan Krisis Perlembagaan.


4. Pada pemahaman saya, Proklamasi Darurat merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.


5. YDPA telah menggunakan kuasanya di bawah Perkara ini untuk tidak memperkenankan cadangan Tan Sri Muhyiddin / Mahiaddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bulan Oktober 2020 yang mahu melaksanakan Darurat ketika itu.


6. YDPA juga kemudiannya menggunakan kuasanya di bawah Perkara ini untuk memperkenankan cadangan Darurat oleh Kerajaan PN pada Januari tahun ini berkuatkuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.


7. YDPA juga telah menggunakan kuasanya sekali lagi untuk tidak memperkenankan kemahuan Muhyiddin / Mahiaddin & kerajaan PN yang mahu Darurat ditamatkan lebih awal iaitu pada 21 Julai 2021.


8. YDPA telah menitahkan supaya Ordinan-Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen untuk tujuan diungkaikan sepertimana kehendak dan keperluan Perkara 150 tersebut.


9. Muhyiddin / Mahiaddin dan kabinetnya telah ingkar dan derhaka ke atas titah YDPA tersebut. Bukan itu sahaja. Mereka juga membelakangkan YDPA dalam membuat pengumuman penamatan Darurat sebelum mendapat perkenan YDPA. Malah tarikh kuatkuasa tamat Darurat yang dicadangkan juga telah dikebelakangkan (backdated) semasa wakil Kerajaan PN menghadap YDPA pada 24 Julai.


10. Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa YDPA "amat berdukacita" dengan perlanggaran titah diraja oleh Muhyiddin / Mahiaddin dan kerajaan PN.


11. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah pentadbiran Malaysia di mana YDPA menyatakan rasa "amat dukacita" terhadap kerajaan semasa.


12. Muhyiddin / Mahiaddin telah meletakkan negara dalam krisis perlembagaan selepas gagal menangani krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis politik. Krisis perlembagaan kerana kerajaan PN telah mengatakan Darurat telah dibatalkan sedangkan ia tidak diperkenankan oleh YDPA dan belum diputuskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


13. Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengeluarkan kenyataan media balas terhadap kenyataan istana negara tersebut. Bagaimanapun, kenyataan PMO tersebut bukan pula menjernihkan situasi tetapi menggambarkan seolah-olah YDPA pula yang telah membuat kesilapan.


14. Insiden ini telah menyerlahkan kelemahan dan kepincangan kepimpinan Muhyiddin / Mahiaddin sebagai Perdana Menteri. Beliau bukan hanya derhaka dan ingkar kepada titah YDPA tetapi menampakkan perlanggaran Perlembagaan Persekutuan dengan mengumumkan penamatan Darurat tanpa perkenan YDPA.


15. Justeru, kerana kederhakaan Muhyiddin / Mahiaddin kepada YDPA dan perlanggaran Perlembagaan Persekutuan yang telah dibuat, beliau sudah hilang kredibiliti dan moral ground untuk meneruskan kerja sebagai Perdana Menteri. Kederhakaan ini juga merupakan kederhakaan kolektif kerajaan PN.


16. Muhyiddin / Mahiaddin perlu letak jawatan bersama kabinetnya. Dan YDPA boleh melantik kerajaan interim untuk tempoh dan fungsi khusus menangani pandemik Covid-19.


17. Kederhakaan Muhyiddin / Mahiaddin sepertimana dalam insiden mempunyai implikasi yang besar kepada rakyat terutama anak-anak di sekolah yang dididik mengenai ikrar Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukunegara.


18. Apa yang akan berlaku jika ada yang bertanya, "kenapa kita diajar untuk setia kepada raja kalau Perdana Menteri sendiri ingkar kepada titah raja / YDPA?"


19. Sebab itulah saya menyokong laporan polis terhadap Muhyiddin / Mahiaddin yang dibuat oleh rakan saya, saudara YB Phoong Jin Zhe, ADUN Luyang dua hari lepas.


20. Kita imbas kembali semasa Muhyiddin / Mahiaddin membuat pengumuman pelaksanaan Darurat pada Januari tahun ini. Beliau katakan tujuan Darurat adalah untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.


21. Apakah Darurat itu telah mencapai tujuannya?


22. Kita lihat kes Covid-19 pada 10 Januari 2021, sehari sebelum tarikh kuatkuasa Darurat. Jumlah kumulatif kes pada hari tersebut ialah 135,992; bilangan kes aktif 27,332; jumlah kumulatif kematian 551 dan kes baharu yang direkodkan pada hari itu ialah 2,433.


23. Pada 26 Julai 2021, semasa kerajaan PN mengumumkan di Parlimen penamatan Darurat tanpa perkenan YDPA, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia ialah 1,027,954; bilangan kes aktif 165,840; jumlah kumulatif kematian 8,201 dan kes baharu yang direkodkan pada hari itu ialah 14,516.


24. Maka bagi menjawab soalan samada Darurat telah mencapai tujuannya, jawapannya TIDAK. Kerajaan PN telah gagal.


25. Yang pasti Darurat oleh Kerajaan PN telah berjaya memenuhi keperluan politik mereka sahaja.


26. Saya masih berpendapat Darurat tidak perlu dikuatkuaskan di seluruh negara jika tujuannya untuk mengekang pandemik Covid-19 kerana Akta 342 / Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudahpun mencukupi untuk melaksanakan perintah-perintah berkaitan pengekangan penularan Covid-19.


26. Kemudian apa pula fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah ditubuhkan? Buat apa ditubuhkan jika memang Muhyiddin / Mahiaddin tidak pernah berniat untuk mendengar pandangan jawatankuasa ini berkenaan penamatan Darurat? Ianya hanya satu pembaziran sumber.


27. Nyata sekali urustadbir berkaitan proklamasi dan ordinan Darurat ini telah menyerlahkan kelemahan dan kepincangan kepimpinan Muhyiddin / Mahiaddin dan kerajaan PN.


28. Berundurlah, dan beri laluan kepada seseorang yang ada "leadership".


29. Dalam situasi ini juga, Kerajaan Negeri Sabah harus menyatakan pendirian dan "political will" berasaskan kepada semangat autonomi dalam berautoriti. Ini bukan lagi soal politik. Ini soal krisis perlembagaan ~ perlanggaran Perlembagaan Persekutuan dan perlanggaran titah YDPA. Tegurlah Muhyiddin /Mahiaddin walaupun beliau adalah bos anda.


30. Krisis perlembagaan yang dicetuskan oleh Muhyiddin / Mahiaddin dan kerajaan PN mempunyai implikasi kepada rakyat Sabah. Apa yang jadi kepada kompaun-kompaun yang dikeluarkan kepada rakyat Sabah di antara 21 Julai hingga 31 Ogos, jika ada? Inilah di mana kerajaan negeri perlu membuat pendirian.


31. Muhyiddin / Mahiaddin juga telah membuktikan kata-kata beliau semasa kempen pilihanraya negeri (PRN) Sabah tahun lalu hanya sekadar retorik pilihanraya. Katanya, kalau kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan adalah senada, maka lancarlah pembangunan di Sabah.


32. Muhyiddin / Mahiaddin tidak menampakkan niat memenuhi cakap beliau jika diukur dalam inisiatif memerangi penularan pandemik Covid-19 di Sabah. Program vaksinasi rakyat Sabah antara yang terkebelakang dan terkelambat kerana jumlah vaksin yang dibekalkan adalah pada jumlah yang rendah.


33. Semasa pandemik Covid-19 di Sabah memuncak pada hujung tahun lepas, Muhyiddin / Mahiaddin juga tidak menunjukkan "leadership-nya" untuk menambahbaik kemudahan infrastruktur, sumber dan program kesihatan di Sabah ketika itu. Jika kes Covid-19 memuncak semula di Sabah, maka kekurangan yang dihadapi sejak tahun lepas akan dihadapi sekali lagi.


34. Kerajaan Negeri Sabah perlu mempunyai program pemulihan sendiri dengan dasar, program, bajet dan autoriti sendiri. Bukan semata-mata bergantung kepada program pemulihan negara oleh kerajaan PN.


35. Selaku ADUN, saya bersedia memberi sokongan kepada usaha-usaha Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah yang didasari dengam political will yang kuat untuk menegur kerajaan persekutuan, menuntut dan melaksanakan program rakyat Sabah dengan autonomi dan autoriti tersendiri.


36. Ini akan menjadi antara tarikh yang saya tidak boleh lupakan. Sepatutnya santai di rumah meraikan ulangtahun kelahiran, tetapi perlu tampil berkongsi nukilan di atas kekhilafan Muhyiddin / Mahiaddin dan kerajaan PN yang meletakkan negara kita dalam krisis yang tidak terurus. Sebagai anggota dewan dan anggota pimpinan Upko, saya perlu juga tampil untuk ini.


37. Semoga esok hari lebih baik untuk semua rakyat Sabah dan warga Malaysia tanpa Muhyiddin / Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.


Datuk Ewon Benedick ADUN Kadamaian

Naib Presiden UPKO

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page