top of page

Usaha perkukuh operasi koperasi baharu di Sabah Diteruskan oleh SKM dan IKMa

  • nabalunews
  • Sep 18, 2024
  • 1 min read

18 September 2024


KOTA KINABALU: Usaha memperkukuhkan operasi koperasi yang baru ditubuhkan di Sabah terus dijalankan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).


Tumpuan diberikan kepada mengenal pasti serta menyelesaikan isu-isu, cabaran, dan masalah yang dihadapi oleh koperasi baharu ini.


Hari ini, satu mesyuarat melibatkan enam koperasi baharu yang berdaftar di bawah SKM Wilayah Pantai Barat Selatan, telah diadakan di sini.


Mesyuarat ini bertujuan membincangkan secara mendalam mengenai cabaran, masalah serta isu-isu yang dihadapi oleh koperasi tersebut, dengan harapan untuk menyediakan panduan dan sokongan yang lebih menyeluruh bagi memperkukuhkan operasi mereka pada masa hadapan.


Mesyuarat ini diharap menjadi platform penting bagi memberi sokongan dan bantuan yang lebih komprehensif kepada koperasi baharu di Sabah, seterusnya memantapkan operasi mereka dalam jangka panjang.


Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Datuk Wong Thien Fook, Ahli Lembaga Pengarah SKM, dan Malisah Sinin, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan SKM Negeri Sabah, yang turut memberi bimbingan dalam perbincangan tersebut.


Selain itu, sesi perbincangan bersama Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah turut diadakan.


Sesi ini melibatkan pembentangan kertas kerja yang menyentuh aspek penting perancangan perniagaan koperasi, termasuk strategi bagi memperkasakan koperasi di peringkat akar umbi.


Turut disentuh dalam mesyuarat itu ialah prosedur serta garis panduan yang berkaitan dengan bantuan dan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan SKM, yang dilihat sebagai instrumen penting dalam membantu koperasi baharu untuk kekal stabil dan berkembang.


Mesyuarat tersebut juga mendapat penyertaan aktif daripada Matias Kundapin, Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Jaibit Jaudin mewakili IKMa Zon Sabah, Asnijah Ibin, Penolong Pengarah Kanan SKM Wilayah Pantai Barat Selatan, serta Nur Sufi Anis Kassim, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Koperasi SKM Negeri Sabah, bersama pasukan masing-masing.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page