Usahawan harus bijak manfaat kemajuan teknologi, media sosial: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan harus bijak manfaat kemajuan teknologi, media sosial: Ewon


Ewon melawat pameran pada majlis itu.

14 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pengusaha syarikat dan usahawan harus bijak memanfaatkan sepenuhnya kemajuan teknologi dan media sosial bagi mengiklankan produk dan perniagaan mereka secara digital.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting kerana kecanggihan teknologi dan digital merupakan antara trend mega yang mampu membentuk pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.


Sehubungan itu katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi di bawahnya harus sentiasa bersedia menghadapi impak trend mega.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Perkembangan kemajuan Internet of Things (IoT), rangkaian peranti mudah alih, analisis data, kecerdasan buatan serta mekanisme pembelajaran mendalam akan terus mengubah landskap kehidupan kita.


“Misalnya, kebanyakan syarikat perniagaan pada masa kini merentasi semua sektor dan industri sedang bergelut dengan perkembangan dunia digital tanpa sempadan yang memberi kesan kepada jangkaan pelanggan serta mempengaruhi asas model perniagaan syarikat mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Teknologi Bank Rakyat 2023, di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Oleh itu Ewon berkata, pengusaha syarikat dan usahawan harus memanfaatkan aplikasi media sosial termasuk WhatsApp, Facebook dan Instagram bagi mengiklankan produk dan perniagaan mereka secara digital.


“Ini kerana setiap perniagaan, tidak kira perusahaan mikro mahu pun perusahaan kecil dan sederhana mampu memasarkan produk atau perkhidmatan mereka ke serata serata dunia melalui Internet tanpa had dan sempadan,” katanya.


Beliau berkata, dalam usaha mengukuhkan agenda keusahawanan menerusi inisiatif pendigitalan, usahawan serta institusi dan agensi berkaitan perlu meneroka pendekatan baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber kerajaan.


Ewon menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang Bank Rakyat Hackathon 2023.

“Syabas kepada Bank Rakyat atas pelancaran inisiatif digital baharu dan kerjasama strategiknya bersama AirAsia Rewards,” katanya.


Ewon berkata, inisiatif digital baharu dan kerjasama strategik secara berterusan membuktikan kesungguhan Bank Rakyat menambah baik operasi perniagaannya selaras dengan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 bagi memajukan pendigitalan industri kewangan sebagai usaha pemulihan semula sektor ekonomi dan kewangan negara.


“Kerajaan telah mengenal pasti ekonomi digital sebagai salah satu bidang pertumbuhan ekonomi utama negara untuk mencapai pertumbuhan yang mampan.



“Dalam kita menghadapi ekosistem digital masa hadapan, semua pihak berkepentingan perlu menyesuaikan diri secepat mungkin untuk menghadapi apa jua cabaran mendatang.


“Bagaimanapun, strategi dan pelan tindakan yang dibangunkan haruslah seiring dengan aspirasi seperti yang digariskan dalam dasar pembangunan negara, termasuk Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) serta Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.


Ewon berkata, sebagai langkah untuk mencetuskan inovasi baharu dalam ruang digital, kerajaan juga telah membentuk ekosistem digital melalui inisiatif MyDIGITAL merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.


“Dasar ini digariskan sebagai usaha melengkapkan pemain industri negara dengan pengetahuan dan kemahiran digital secara inklusif,” katanya.



Beliau berkata, selain itu, rangka tindakan ini juga berfungsi sebagai pelan hala tuju transformasi digital yang mampu memacu sektor perniagaan untuk bersaing di peringkat global sekali gus meningkatkan kesesuaian dan kecekapan operasi mereka.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Ahli Lembaga Pengarah mewakili Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Haji Mohd Jafri Kudus dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff.


bottom of page