Usahawan Wanita beri sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan Wanita beri sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara: Ewon


8 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, peranan dan sumbangan usahawan wanita dalam pembangunan ekonomi negara harus diberi pengiktirafan.


Beliau berkata, ini kerana selain berperanan penting dalam pembangunan keluarga, wanita juga telah membantu aktiviti ekonomi negara termasuk melahirkan generasi usahawan baharu susulan menjadi paymaster terbaik.


“Hari ini (8 Mac) didedikasikan untuk meraikan hari istimewa untuk semua wanita di seluruh dunia melalui sambutan Hari Wanita Antarabangsa.


“Dalam konteks perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia, wanita membentuk peratusan yang terbesar sebagai pemilik perniagaan PMKS.


“Malah berdasarkan data di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, usahawan wanita juga merupakan paymaster yang cemerlang,” katanya dalam perkongsian melalui laman sosial Facebook beliau Ewon Benedick Official Media, sempena Hari Wanita Antarabangsa, hari ini.


Sehubungan itu Ewon berkata, adalah wajar wanita diiktiraf sebagai “Bonda Negara” atas sumbangan besar mereka bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi negara tetapi juga pembangunan keluarga.


“Terima kasih atas sumbangan besar golongan wanita dalam pembangunan ekonomi negara tanpa mengetepikan tanggungjawab dalam pembangunan keluarga,” katanya.


Ewon berkata, kementeriannya melalui agensi-agensinya mempunyai pembiayaan khas untuk usahawan wanita.


“Agensi-agensi di bawah kementerian saya menyediakan pelbagai program dan skim pembiayaan keusahawanan khusus untuk golongan wanita.

 

“Antaranya, Skim Pembiayaan Ikhtiar oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita (TekunNita), Program Pemerkasaan Usahawan Wanita di bawah INSKEN, Skim pembiayaan BRPlus-iBizLady dan Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh Pernas,” katanya.

bottom of page