VIDEO ADUN SEBATIK BERIKRAR ATAS NAMA ALLAH SETIA KEPADA WARISAN, SEDIA LETAK JAWATAN DIDEDAHVIDEO ADUN SEBATIK BERIKRAR ATAS NAMA ALLAH SETIA KEPADA WARISAN, SEDIA LETAK JAWATAN DIDEDAH
top of page
  • nabalunews

VIDEO ADUN SEBATIK BERIKRAR ATAS NAMA ALLAH SETIA KEPADA WARISAN, SEDIA LETAK JAWATAN DIDEDAH


1 March 2021


KOTA KINABALU: Sebuah video menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A. Gani Pangiran Amir berikrar atas nama Allah SWT untuk setia kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dirakam semasa pemilihannya sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September lalu didedahkan hari ini.


Dalam video tersebut, Hassan A. Gani turut menyatakan keikhlasan ikrarnya dengan menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ADUN Sebatik yang akan diserahkan kepada Yang Dipertua Sabah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah jika beliau bertindak melompat parti selepas menjadi wakil rakyat.



“Saya dengan ini berikar di hadapan Tuhan atau Allah dan rakyat Sabah, saya akan setia kepada WARISAN jika saya terpilih sebagai ADUN Sabah seperti dinyatakan di atas dan kekal setia sehingga pembubaran DUN Sabah.


“Saya tidak akan mengkhianati kepercayaan WARISAN terhadap saya dan juga kepercayaan dan harapan pengundi-pengundi terhadap saya,” katanya.


Video tersebut dirakam pada 10 September 2020 sebelum Hassan A. Gani menerima watikah pelantikan calon WARISAN DUN Sebatik daripada Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.


Semasa rakaman video tersebut, beberapa peguam WARISAN turut hadir sebagai saksi.



Bagaimanapun, pada 25 Februari lalu, Hassan A. Gani mengumumkan meninggalkan WARISAN dan menjadi wakil rakyat yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Beliau memberikan alasan hilang kepercayaan kepada WARISAN disebabkan parti itu terlalu berpolitik dan tidak lagi memperjuangkan nasib rakyat.


Video berkenaan didedahkan selepas mesyuarat semua wakil rakyat WARISAN di pejabat WARISAN Kota Kinabalu petang ini.


Mesyuarat berkenaan dihadiri semua wakil ADUN dan Ahli Parlimen WARISAN. -SabahToday



bottom of page