Video tular kaitkan Ketua Pengarah AKPS palsu, guna AI
- nabalunews
- Aug 6
- 1 min read

6 Ogos 2025
PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan video tular di platform media sosial TikTok melibatkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain adalah palsu.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, video dimuat naik oleh pemilik akaun 'Hermano Kedutaan' itu dihasilkan melalui teknik 'deepfake' menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Penghasilan dan penyebaran video berkenaan adalah cubaan berniat jahat yang menjatuhkan imej, mencemarkan reputasi dan menjejaskan integriti Mohd Shuhaily, bertujuan memanipulasi serta mengelirukan orang ramai,” menurut agensi itu.
Sehubungan itu, AKPS menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dan sentiasa waspada dengan kandungan yang disiarkan.
"Orang ramai juga dinasihat tidak menyebarkan video itu. Tindakan menyebar kandungan palsu adalah satu kesalahan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Tambah agensi itu, walaupun kemajuan teknologi AI dialu-alukan, penyalahgunaannya dengan tindakan tidak beretika untuk tujuan memfitnah serta menjatuhkan maruah individu adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“AKPS memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran video palsu tersebut,” katanya.
Rakaman video berdurasi 18 saat yang tular itu menunjukkan seolah-olah Mohd Shuhaily mempromosikan khidmat 'Hermono' sebagai pihak yang boleh membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan pasport dan dokumen lain.


















Comments