Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara Baharu
- nabalunews
- Jul 18, 2025
- 1 min read

18 Julai 2025
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, turut diumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.
"Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara," menurut kenyataan itu.
Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.
Sementara itu, Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu, manakala Azizah akan menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bakal bersara pada 25 Julai ini.















Comments