- nabalunews
Wanita PH Sabah mahu lebih ramai wanita tampil menjadi calon, pemimpin
27 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Program Jelajah Wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah yang julung kalinya diadakan, berlangsung di Keningau hari ini dan dihadiri peserta wanita dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari bahagian Keningau, Nabawan, Tenom dan bahagian berhampiran.
Timbalan Setiausaha Penganjur UPKO yang juga bekas calon wanita UPKO Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rowindy Lawrence berkata program seperti ini harus diteruskan kerana ia bukan hanya dapat memupuk semangat persaudaraan atau “sisterhood” di kalangan wanita PH di Sabah, malah turut menjadi platform kepada wanita PH Sabah untuk berbincang bagaimana mengatasi permasalahan di kawasan masing-masing selain dapat mencapai kesepakatan dalam kalangan wanita PH Sabah.
Program julung kalinya ini dipengerusikan oleh Nancy Lau selaku Ketua Wanita UPKO Bahagian Keningau.
Antara pengisian Program Jelajah Wanita PH Sabah ini adalah forum dan moderator oleh Ketua Wanita PH Sabah, Jannie Lasimbang. Ahli panelnya terdiri daripada Ketua Wanita pusat masing-masing iaitu Mohina Sidom (UPKO), Clare Taunek (DAP) dan Noriha Yakub (PKR).
Menurut Rowindy, antara perbincangan dalam forum ini adalah berdasarkan Banci Malaysia 2020 di mana nisbah jantina penduduk Sabah ketika ini menunjukkan seramai 109 lelaki bagi setiap 100 orang perempuan atau hampir mencapai nisbah 50:50 yang membawa kepada cadangan mewujudkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik khas untuk kuota wanita.
“Beberapa perkara penting telah diajukan dalam forum ini antaranya mewujudkan kerusi ADUN dilantik khas untuk kuota wanita dan mendidik wanita untuk menjadi pemimpin masa akan datang” kata Rowindy.
"Jika wanita tidak mendapat peluang untuk bertanding, maka kerusi ADUN Khas untuk kuota wanita harus diwujudkan di negeri ini bagi menjaga kepentingan wanita. Ini kerana nisbah wanita dan lelaki di negeri ini hampir mencapai nisbah 50:50," katanya.
Menurutnya selain itu beberapa kerusi turut disebut-sebut agar calon wanita diberikan peluang untuk bertanding iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, DUN Liawan dan DUN Tulid.
Katanya, jelajah ini akan diteruskan ke beberapa daerah lain lagi dari masa ke semasa.
Turut hadir, bekas calon wanita DAP Keningau, Grelydia Gillod dan bekas calon wanita UPKO DUN Paginatan, Georgina George.
Komentarze