Wanita tunjang kemajuan, kesejahteraan masyarakat – Nancy
- nabalunews
- 1d
- 1 min read

8 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Sumbangan wanita dalam pelbagai bidang terus menjadi tunjang kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini, Nancy berkata golongan hawa bukan sekadar pelengkap dalam kehidupan, malah merupakan sumber kekuatan dan nadi pembangunan negara.
“Dari seorang ibu yang mendidik generasi masa depan, kepada wanita yang memimpin dalam pelbagai bidang dimana sumbangan wanita sentiasa menjadi tunjang kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.
“Kepada semua wanita, ibu, anak, kakak, adik, pemimpin, usahawan, pendidik dan pejuang kehidupan termasuklah dimana jua anda berada, terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan ketabahan yang menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya.
Nancy berkata, sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan setiap tahun merupakan detik bermakna untuk menghargai peranan, pengorbanan dan kekuatan wanita yang terus memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga, masyarakat serta negara.
Menurutnya tema sambutan tahun ini, “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” membawa mesej jelas bahawa apabila wanita diberi ruang, peluang serta penghargaan sewajarnya, negara akan menjadi lebih kuat dan sejahtera.
“Selamat Hari Wanita Antarabangsa. Semoga wanita terus melangkah maju, dihargai dan diperkasakan demi masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 akan diadakan pada 10 Mac ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Katanya, majlis yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah simbol komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan wanita serta memastikan suara mereka terus dihargai.















Comments