WANITA UPKO AKAN TERUS JADI ‘SUARA WANITA’: MOHINAWANITA UPKO AKAN TERUS JADI ‘SUARA WANITA’: MOHINA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

WANITA UPKO AKAN TERUS JADI ‘SUARA WANITA’: MOHINA



19 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UPKO akan terus menjadi ‘suara wanita’ melalui penglibatan aktif dalam program-program kebajikan dan kemasyarakatan.


Ketua Pergerakan Wanita UPKO Kinabatangan Mohina Sidom berkata, ia selaras dengan visi UPKO sebagai peneraju perjuangan rakyat negeri ini.


“Salah satu visi dalam pergerakan wanita UPKO adalah untuk menjadi suara kepada wanita terutamanya wanita yang terpinggir di negeri ini.


“Bagi pergerakan wanita UPKO, perjuangan kita tidak berhenti apabila kerajaan bertukar. Malah, Pergerakan Wanita akan terus progresif dengan kerja-kerja amal walaupun banyak kekangan.


“Contohnya, Exco wanita UPKO telah menganjurkan kempen derma darah dengan kerjasama PELITA, Persatuan Talasemia Sabah dan Nabalu News, baru-baru ini,” katanya semasa Webinar melalui Zoom bertajuk “Peneraju Perjuangan Rakyat: Siri ke-2”, semalam.


Mohina berkata, selain itu EXCO Pergerakan Wanita UPKO Pusat juga telah mengadakan kursus online keusahawanan digital, kursus membuat gelang manik dan membuat roti.


“Program seumpama ini mampu menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama. Pada masa yang sama, menunjukkan UPKO sentiasa relevan dan dekat di hati rakyat,” katanya.


Beliau berkata, sebelum pilihan raya tahun lepas, pergerakan wanita bahagian masing-masing telah melaksanakan banyak aktiviti kebajikan.


“Antaranya, melawat orang orang sakit, orang kurang upaya dan memberikan sumbangan dari segi kewangan dan barang keperluan lain,” katanya.


Mohina berkata, di bahagian Upko Kinabatangan, pelbagai aktiviti kebajikan dan kursus peningkatan ekonomi untuk wanita telah dilaksanakan.


“Bagaimanapun banyak program kebajikan yang telah kita rancang sebelum ini terpaksa ditangguhkan ekoran PKP dan pandemik Covid-19,” katanya.


bottom of page