Kementerian wanita perlu perkasa program bantu wanita luar bandar cari kerja
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kementerian wanita perlu perkasa program bantu wanita luar bandar cari kerja

10 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dalam usaha memperkasa golongan wanita, terutama yang berada di luar bandar, Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah mengutarakan cadangan untuk mengimplementasikan pendekatan baharu yang lebih efisien dalam pencarian pekerjaan.


Menurut Ketua Wanita UPKO, Mohina Sidom, terdapat keperluan mendesak bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau agensi terkait untuk menguatkan program-program yang menyediakan kemahiran mencari pekerjaan melalui platform digital, khususnya bagi wanita yang kurang berpendidikan.


Jelas beliau, ramai wanita di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan walaupun terdapat pelbagai platform yang disediakan.


“Walaupun teknologi kini di hujung jari, masih ada yang terpaksa berjalan kaki dari satu tempat ke tempat lain mencari kerja kerana kurang mahir menggunakan platform yang ada.” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Sedunia dan Pelancaran Jelajah Wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah di sini, semalam.


Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Wanita PH Sabah, Jannie Lasimbang; Ketua Wanita DAP Sabah, Clare Taunek; dan Ketua Wanita PKR Sabah, Rehan Yakoub.


Mohina menekankan keperluan untuk platform pencarian pekerjaan memuatkan lebih banyak peluang pekerjaan, termasuk dalam bidang kolar biru, agar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang kurang berpendidikan.


Selain itu, Mohina juga menyatakan sokongan terhadap saranan NGO untuk melantik lebih ramai wanita sebagai Ketua Adat di Mahkamah Anak Negeri (MAN), sebagai langkah mengiktiraf peranan wanita dan menyelesaikan isu berkaitan wanita di kawasan luar bandar.


“Kami yakin banyak wanita yang berkelayakan dan bersedia untuk mengambil peranan ini,” kata Mohina.


Antara isu lain dibangkitkan Wanita UPKO juga termasuk pemberian peruntukan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).


Mohina menyarankan agar setiap DUN mengutamakan golongan ibu tunggal dan wanita kurang upaya memiliki kediaman itu memandangkan masih ramai wanita yang hidup serba kekurangan dengan keadaan rumah tidak selamat didiami terutama di kawasan pedalaman Sabah.


Mohina yang juga Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan menegaskan, Wanita UPKO akan terus berjuang untuk mengatasi kesaksamaan gender dalam pelbagai sektor dan bertegas menolak segala bentuk penindasan terhadap wanita samada melalui keganasan rumah tangga, gangguan seksual, secara fizikal ataupun verbal.



bottom of page