Wanita UPKO Kota Belud hulur bantuan kepada mangsa kebakaran
- nabalunews
- 4h
- 1 min read

Oleh: Kidd
26 Februari 2026
KOTA BELUD: Insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Melangkap Kapa baru-baru ini mengakibatkan 10 buah rumah hangus terbakar manakala empat lagi mengalami kerosakan, menyebabkan beberapa keluarga kehilangan tempat tinggal dan mengalami kerugian harta benda yang besar.
Prihatin dengan musibah yang menimpa penduduk kampung, Rombongan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud segera melaksanakan misi bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
Misi bantuan ini diketuai oleh Timbalan Ketua Wanita UPKO Bahagian Kota Belud, Julini Mandadi, bersama Ketua Cawangan Wanita UPKO Melangkap, Tiong Kensulim, dan Bendahari Wanita UPKO Bahagian Kota Belud, Nilly Sandur.

Menurut Julini, setiap keluarga yang terlibat menerima sumbangan berupa 10 kilogram beras, bakul makanan, serta wang tunai bagi memenuhi keperluan harian mereka. “Setiap keluarga menerima 10kg beras, bakul makanan, dan wang tunai sebagai bantuan segera sementara menunggu bantuan susulan dari pihak berwajib,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Wanita UPKO Bahagian Kota Belud akan terus komited dalam aktiviti kebajikan dan sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat setempat, terutamanya ketika berdepan situasi kecemasan seperti kebakaran ini. Penduduk kampung turut menyampaikan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan oleh pihak UPKO.















Comments