Warga asing dilarang beli minyak masak paket subsidi mulai 1 Mac
- nabalunews
- 15 hours ago
- 2 min read

29 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Warga asing akan dilarang membeli minyak masak paket bersubsidi berkuat kuasa 1 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata larangan itu akan dilaksanakan melalui Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuat kuasakan.
“Sebelum ini, terdapat banyak gesaan melarang pembelian oleh warga asing, namun peruncit membangkitkan aspek praktikal iaitu mekanisme pelaksanaan larangan termasuk kaedah pemantauan dan penguatkuasaan.
“Dengan adanya sistem yang hanya membenarkan warganegara membuat pembelian diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan, ia akan membolehkan peruncit dan penguat kuasa melaksanakan larangan dengan berkesan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dalam pengagihan minyak masak peket bersubsidi kepada warga emas dan golongan miskin.
Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan mengambil maklum berhubung kebimbangan pelaksanaan aplikasi eCOSS memberi kesan kepada warga emas dan golongan miskin serta penduduk luar bandar yang tiada akses kemudahan internet.
Atas sebab itu, katanya, KPDN memperluas penggunaan aplikasi Mobile eCOSS secara berperingkat dengan dimulakan di Putrajaya pada Mei 2025, disusuli premis Program Jualan Rahmah Madani serta Johor atas kerjasama kerajaan negeri dan premis terpilih di negeri lain.
“Pada peringkat rintis ini, pembelian melalui kaedah manual masih dibenarkan dan perekodan transaksi secara manual.
“Pembelian secara manual atau kaedah bersesuaian akan dikenal pasti secara bersasar di premis peruncitan terpilih yang belum mempunyai capaian kemudahan internet,” katanya.
Tambahnya, bantuan dan sokongan di premis jualan akan diberikan oleh peruncit dengan modul khas bagi kumpulan warga emas atau golongan miskin yang tidak mempunyai telefon mudah alih dengan rangkaian internet.
“Sistem eCOSS juga akan diintegrasikan dengan platform MyKasih untuk membolehkan pilihan tambahan pembelian menggunakan kad pengenalan seperti program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“KPDN sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.


















Comments