top of page
  • Wartawan Nabalu News

Warisan Lahad Datu tetap kukuh



31 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


LAHAD DATU: Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Lahad Datu tetap kukuh dan berada pada landasan terbaik untuk mengambil semula kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kawasan itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Ahli Majlis tertinggi (AMT), Azhar Matussin berkata, tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama keluar Warisan malam tadi, tidak memberi kesan kepada kekuatan Warisan di kawasan itu.


Azhar Matussin

Katanya, penyokong Warisan Lahad Datu sudah terbiasa dengan ketiadaan Mohamaddin Ketapi berikutan beliau jarang berada di kawasan untuk berjumpa rakyat.


“Pemergiannya sangat tidak dirasai oleh setiap lapisan penyokong Warisan di Lahad Datu…malah tadi dalam dewan ketika sidang media dijalankan suasana dewan penuh dengan sorakkan kehadiran daripada penyokong tegar Warisan.


“Dalam taklimat dijalankan oleh Bahagian dihadiri Ahli Jawatankuasa bahagian terdiri daripada Wanita, Wira serta Wirawati sambutan sangat diluar jangka…dewan penuh manakala sebahagian penyokong terpaksa menunggu tunggu diluar dewan, untuk mematuhi Prosuder Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Azhar turut mengesahkan hanya empat ahli parti itu menyertai Mohamaddin keluar Warisan kelmarin.


Hadir sama dalam sidang media, Ketua Penerangan Warisan Sabah, Datuk Ag Ahmad Shah Ashari serta AMT Warisan.


Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau berkata, keyakinan yang ditunjukkan dengan kehadiran ramai penyokong tadi memperlihatkan sokongan padu kekal bersama-sama kepimpinan parti, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.


“Ketika ini semua kepimpinan akan bersatu padu mengatur strategi menggerakkan jentera persiapan PRU yang bakal diadakan pada bila-bila masa,” katanya.


Dalam perkembangan sama ketiga-tiga Adun dalam Parlimen Lahad Datu menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan parti.


“Mereka ialah Assaffal Alian merangkap Adun Tungku selaku Timbalan Ketua Bahagian manakala Adun Kunak Norazlina Arif serta Dumi Pg Masdal Lahad Datu, kekal dengan pendirian untuk bersama Warisan Sabah serta fokus membantu rakyat selaras dengan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

Comments


bottom of page