"WILAYAH SABAH" CUMA SYOK SENDIRI, MELAINKAN PINDAAN PERLEMBAGAAN DIBUAT: JUNZ WONG"WILAYAH SABAH" CUMA SYOK SENDIRI, MELAINKAN PINDAAN PERLEMBAGAAN DIBUAT: JUNZ WONG
top of page
  • Wartawan Nabalu News

"WILAYAH SABAH" CUMA SYOK SENDIRI, MELAINKAN PINDAAN PERLEMBAGAAN DIBUAT: JUNZ WONG



Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa Sabah dan Sarawak merupakan Wilayah cuma langkah "syok sendiri", melainkan pindaan dibuat kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, kata Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong.


"Terima kasih. Tetapi ini jelas gimik pilihan raya. PM kata PN perlu menang besar untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Tetapi tiada siapa-siapa menghalang beliau meneruskan Parlimen," katanya.



Junz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru berkata, Parlimen harus bersidang untuk memberi kesan kepada perisytiharan Sabah sebagai sebuah wilayah.


"Apabila ia diumum begitu sahaja, itu kita panggil 'syok sendiri'. Kita panggil Sabah sebuah wilayah, tetapi intipati sesebuah wilayah itu tidak ada.


"Hak minyak dan gas masih dinafikan, hak-hak pengeksportan masih perlu kelulusan Malaya, Perjanjian MA63 masih tidak ditunaikan. Jadi syok sendiri sajalah."



"Dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai 'negeri' bersama negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis.


"Sebab itu pindaan Perlembagaan Persekutuan diperlukan," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Junz berkata, Warisan pernah mengusahakan pindaan Parlimen untuk memberi kesan perundangan kepada maksud 'rakan kongsi'.


"Pada April tahun 2019, mendiang Datuk Liew Vui Keong dari Warisan yang merupakan Menteri Undang-undang di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir, sudah pun membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.



"Ini dibuat untuk memberi kesan perundangan, bagi memulih hak-hak Sabah dan Sarawak.


"Masa itu kami perlukan dua pertiga majoriti, iaitu 148 Ahli Parlimen. Tapi tahu apa yang berlaku?"


"Daripada 197 Ahli Parlimen yang hadir, 138 undi setuju, 59 tidak mengundi."


"Jadi 59 Ahli Parlimen itu menggagalkan usul tersebut. 59 orang Ahli Parlimen ini termasuk seorang Ahli Parlimen Sabah yang merupakan Timbalan Ketua Menteri sekarang dan sekumpulan lagi Ahli Parlimen Sarawak."


"Jadi itu saya anggap pengumuman PM sebagai gimik pilihan raya untuk tarik undi."


"Jika dapat sokongan nanti, penyakit lama akan berulang. Akan wujud macam-macam jawatankuasa lah, kajian lah, ini lah, itu lah untuk terus menafikan hak-hak Sabah dan Sarawak."


"Tapi PM tak perlu bimbang. Sekiranya benar Muhyiddin ikhlas, biarlah Parlimen bersidang. Biarlah kita sebulat suara undi menyokong pindaan Parlimen. Semua wakil rakyat Warisan akan sokong usul Muhyiddin untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya.



bottom of page