top of page

Wisma Putra pantau perkembangan sembilan aktivis Malaysia sertai Misi FFC x TMTG

  • nabalunews
  • Oct 8
  • 2 min read

ree

8 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Luar sedang memantau perkembangan sembilan aktivis dari Malaysia yang menyertai misi di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza, yang kini dalam perjalanan ke Gaza.


Misi berkenaan bertujuan mencabar sekatan tidak sah dikenakan oleh Israel serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.


Kementerian itu yang juga dikenali Wisma Putra berkata, semua pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan sudah diarah berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan mengekalkan pemantauan rapi terhadap perkembangan misi berkenaan.


“Langkah bersesuaian juga sedang disusun bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko penahanan oleh pihak berkuasa Israel.


“Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan negara rakan strategik bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara,” menurut kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


Wisma Putra berkata, langkah itu selaras komitmen berterusan kerajaan dalam menjunjung prinsip kemanusian sejagat dan keadilan antarabangsa.


Semalam, seramai 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan Israel selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.07 malam.


Wisma Putra dalam kenyataan yang sama mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia berkenaan berada dalam keadaan selamat dan sihat.


Dalam pada itu, kementerian itu menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Turkiye atas sokongan, bantuan serta fasilitasi yang amat penting dalam memastikan kepulangan rakyat Malaysia terbabit.


“Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat termasuk negara ASEAN yang mempunyai kehadiran di Tel Aviv atas kerjasama dan bantuan dalam memastikan keselamatan serta kepulangan rakyat Malaysia.


“Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai juga memainkan peranan penting dalam membantu proses membawa pulang, selain memastikan kebajikan sukarelawan Malaysia sepanjang transit serta urusan repatriasi berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page