Wujudkan fasiliti makmal kateterisasi jantung di bandar utama Sabah – ChanWujudkan fasiliti makmal kateterisasi jantung di bandar utama Sabah – Chan
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Wujudkan fasiliti makmal kateterisasi jantung di bandar utama Sabah – Chan


3 Nov 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan fasiliti makmal kateterisasi jantung di bandar-bandar utama seperti Tawau dan Sandakan bagi pesakit yang jauh dari Kota Kinabalu tetapi ingin mendapatkan rawatan serangan jantung.


Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata hanya satu hospital yang mempunyai perkhidmatan angiogram dan angioplasti iaitu Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu.


“Mana-mana pesakit yang mengalami serangan sakit jantung di daerah yang jauh seperti Tawau atau Sandakan perlu menunggu sehingga keadaan mereka stabil, dan mereka perlu ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan pembedahan angioplasti.


“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia tidak dapat memindahkan pakar kardiologi intervensi ke Tawau kerana mereka tidak mempunyai makmal kateterisasi jantung. Sudah tiba masa kerajaan meletakkan fasiliti-fasiliti ini di bandar-bandar utama seperti di Sandakan dan Tawau,” katanya dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat, hari ini.


Menurut Chan, Sabah juga tidak mempunyai fasiliti imbasan PET-CT (positron emission tomography–computed tomography) di mana-mana hospital di Sabah untuk pengesanan awal kanser oleh pakar onkologi dan pesakit Sabah terpaksa ke tempat lain seperti Kuching, Kuala Lumpur dan Singapura untuk mendapatkan diagnosis kanser.


“Rakyat dari daerah lain di Sabah terpaksa melakukan perjalanan jauh ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan perubatan yang tidak terdapat di daerah mereka.


“Nisbah antara penduduk dengan pakar, seperti pakar perbidanan dan sakit puan, pakar pediatrik, pakar bedah, pakar bius, dan lain-lain, semakin membesar dengan pertambahan penduduk, dan lebih banyak jawatan seperti itu perlu diwujudkan di Sabah, terutamanya di kemudahan kesihatan kerajaan di kawasan-kawasan luar bandar,” jelasnya.


Oleh itu, Chan berkata Sabah memerlukan lebih banyak kemudahan perubatan bagi meringankan beban rakyat Sabah yang ingin mendapatkan rawatan perubatan tertentu.

bottom of page