- Wartawan Nabalu News
Zon Tengah sedia beri saingan sengit pada Kejohanan Bola Sepak BMR 2021

24 Nov 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
TELUPID: Pasukan Zon Tengah yang terdiri daripada Persatuan Bola Speak Sabah (SAFA) daerah Telupid, Ranau dan Tongod sudah bersedia untuk mengharungi Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Bung Moktar Radin.
Menurut Pengurus Pasukan 1, Marcelus Jaffrey ketika ditemui, beliau yakin dengan kemampuan pasukannya di bawah kendalian ketua Jurulatih Sylvester Doinie dan dibantu oleh barisan kejurulatihan yang sangat berkerja keras dalam persediaan pasukan ini.
Beliau berharap pemain dapat menterjemahkan kerja keras mereka selama ini kepada keputusan yang positif untuk diri mereka, keluarga, pasukan, daerah dan zon.
“Saya melihat semangat dan mod pemain sangat positif. Keyakinan ini tidak bermakna kita memandang rendah pasukan lain yang sudah tentu akan cuba untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan zon tengah,” katanya.
Marcelus turut menyeru kepada warga Zon Tengah yang berada di sekitar Kota Kinabalu datang memberikan sokongan kepada Zon Tengah semasa beraksi.
Sementara itu, Pengerusi Zon Tengah, Tommy Amir merakamkan jutaan terima kasih kepada Marcelus, Hisyamudin @ Syam Harun dari SAFA Daerah Ranau dan Erick Ukil dari SAFA Daerah Tongod serta semua yang terlibat dalam memberikan kerjasama yang baik sejak bermulanya saingan di peringat zon hingga ke pusingan akhir ini.
Katanya, selain cuba untuk memburu kejuaraan, apa yang lebih penting adalah akan ada pemain dari Zon Tengah ini terpilih untuk mewakili Sabah dalam Piala Belia dan Piala Presiden 2022.