1,065 miskin tegar, miskin dan B40 Sabah sertai Inisiatif Pendapatan Rakyat
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

11 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Seramai 1,065 golongan sasar membabitkan miskin tegar, miskin dan B40 di Sabah menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), setakat 20 November 2025.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, terdapat tiga inisiatif utama IPR iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Program Basmi Miskin Tegar (BMT).
Menurut beliau, melalui IPR-INTAN, seramai 770 peserta sudah diluluskan untuk melaksanakan aktiviti pertanian di sembilan lokasi antaranya Kota Marudu, Tambunan dan Tawau.
“Jumlah keluasan tanaman yang terlibat adalah 810 ekar dengan pencapaian yang memberangsangkan.
“Sebagai contoh, para peserta yang mengusahakan projek tanaman halia di Kampung Merotai, Tawau telah berjaya memperolehi pendapatan bersih bulanan berjumlah RM2,000,” katanya di Dewan Negara pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Anifah Aman yang ingin tahu program IPR yang dilaksanakan di Sabah dan bentuk peluang untuk golongan belia mendapat manfaat daripada inisiatif itu.
Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata bagi IPR-INSAN, seramai 42 peserta diluluskan untuk mengusahakan produk makanan melalui mesin layan diri dengan purata jualan harian antara RM90 hingga RM300.
“Terdapat peserta di Hospital Tawau yang telah berjaya memperolehi hasil jualan bulanan sehingga RM16,000 pada Jun 2025, manakala peserta di Hospital Tambunan dan UiTM Tawau berjaya mencatat jualan secara konsisten melebihi RM10,000 dan RM6,000 sebulan,” ujarnya.
Sementara bagi IPR-BMT pula, sejumlah 253 ketua isi rumah miskin tegar diluluskan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti peningkatan pendapatan serta menerima bantuan dalam bentuk peralatan perniagaan, khidmat nasihat serta kursus literasi kewangan.
Jelasnya, antara kejayaan yang dicapai di bawah IPR-BMT ialah pelaksanaan projek kedai runcit oleh ketua isi rumah di Kampung Kaingaran, Ranau yang telah menjana pendapatan tambahan mencecah RM2,000 sebulan.
Beliau berkata, majoriti peserta program IPR di Sabah terdiri daripada golongan belia yang berupaya melaksanakan aktiviti penjanaan pendapatan secara mampan melalui ekosistem sokongan yang disediakan.
“Dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan golongan muda ke dalam program IPR, Kementerian Ekonomi menjalinkan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan agensi di bawahnya bagi membuka ruang penglibatan lebih ramai golongan muda.
“Kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam memberi latihan semasa bekerja yang dikendalikan Jabatan Pembangunan Kemahiran, bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan muda yang menyertai program IPR termasuklah di Sabah,” katanya.


















Comments