306 sampel kes positif Covid berkemungkinan varian Omicron - Khairy306 sampel kes positif Covid berkemungkinan varian Omicron - Khairy
top of page
  • Wartawan Nabalu News

306 sampel kes positif Covid berkemungkinan varian Omicron - Khairy



29 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PETALING JAYA: Sebanyak 306 sampel kes positif Covid-19 hasil ujian PCR Genotyping Assay dalam kalangan pengembara ke negara ini berkemungkinan varian Omicron.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata penemuan itu hasil ujian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap 366 sampel kes positif yang memasuki negara ini antara 21 hingga 25 Disember lalu.


“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 306 telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS),” katanya dalam sidang akhbar kelmarin.


Tambah beliau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menarik semula sekatan perjalanan sementara ke atas lapan buah negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.


“Kesemua lapan negara ini akan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini adalah 18 buah.


“Sekatan perjalanan ke atas 18 negara berisiko tinggi varian Omicron ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada, Nigeria, Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe, dan Malawi,” katanya.


Setakat ini, jumlah kumulatif kes varian Omicron di Malaysia ialah sebanyak 62 kes.

bottom of page