top of page
  • nabalunews

Acara Olimpik kurang popular jadi perhatian MSN


12 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia memberi perhatian kepada sukan 'kurang popular' yang menawarkan banyak pingat untuk disertai kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik akan datang.


Selepas berakhirnya Olimpik Paris 2024, MSN melihat banyak negara mampu menuai pingat di sukan baharu dipertandingkan seperti papan selaju, 'climbing' dan 'surfing' dan ia dilihat sebagai satu perkembangan yang harus dibangunkan selepas ini.


"Di Paris 2024 ini, kita dapat banyak pengalaman sama ada pengalaman berharga, pahit mahu pun pengalaman kurang baik. Namun kita akan guna semua pengalaman ini untuk kita bawa ke hadapan.


"Kami di MSN akan cuba membangunkan sukan baharu, seperti kita lihat, banyak negara baharu yang memenangi pingat dalam sukan baharu seperti papan selaju, 'climbing' dan 'surfing', untuk melihat potensi sukan berkenaan yang mungkin kita boleh cungkil di Malaysia," kata Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dalam sidang media bersama ketua kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin.


Kontinjen Malaysia yang disertai 26 atlet menutup tirai edisi Paris 2024 dengan meraih dua pingat gangsa menerusi sukan badminton dan menduduki tangga ke-80 daripada 206 negara.


Bagi edisi kali ini, Malaysia menyertai sembilan jenis sukan iaitu renang, terjun, badminton, berbasikal, menembak, memanah, pelayaran, golf, angat berat dan olahraga.


Rashid dalam pada itu berkata, MSN turut akan memberi penekanan terhadap sukan yang menawarkan banyak pingat dan kategori berat badan dalam usaha mengetengahkan lebih ramai lagi bakat berpotensi ke temasya berkenaan.


"Kalau kita lihat, kita hampir memenangi pingat menerusi Aniq Kasdan dan ini adalah satu perkara baharu yang timbul dalam sukan negara kita iaitu sukan angkat berat yang berjaya sehingga ke tahap ini di Sukan Olimpik.


"Kita merasakan ramai lagi bakat berpotensi bagi sukan tertentu yang berada di bawah, boleh diketengahkan selepas ini.


"Kalau kita lihat, negara jiran sudah berada di hadapan dengan sukan seperti angkat berat, taekwondo dan gimnastik. Rasanya, kita mempunyai bakat untuk diketengahkan selepas ini," kata Rashid yang dalam sama menegaskan pihaknya turut akan meneruskan pelaksanaan program yang sudah dilakukan sebelum ini.


"MSN juga sudah memulakan program Fast Track bagi sukan skuasy dan terjun. Mungkin akan ada lagi pertambahan (atlet dan jenis sukan) selepas ini. MSN akan kenalpasti lebih ramai atlet berpotensi yang berada dalam ranking 20 terbaik dunia untuk kita letakkan di bawah program ini.


"Selain itu, sudah pastinya dalam masa sama, MSN akan memperbaiki program podium yang sudah dilaksanakan sejak 2016 lagi supaya lebih ramai atlet dapat dipersiapkan untuk Los Angeles (LA) 2028," katanya.

Comments


bottom of page