Agenda Sabah First kekal teras perjuangan UPKO — Donald
- nabalunews
- Jan 18
- 2 min read

18 Januari 2026
KOTA KINABALU: Agenda Sabah First perlu terus diperkukuh sebagai teras perjuangan utama Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dalam usaha mempertahankan hak perlembagaan Sabah, kata Timbalan Presidennya Datuk Donald Peter Mojuntin.
Beliau menegaskan tuntutan terhadap keadilan fiskal, penolakan sebarang campur tangan yang tidak wajar serta jaminan agar hasil negeri dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah merupakan amanah perjuangan yang tidak boleh dikompromi.
Menurutnya, pendirian tersebut adalah sebahagian daripada hala tuju jelas yang digariskan UPKO sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang berteraskan prinsip dan maruah.

“UPKO juga perlu memperkukuh setiap bahagian, sayap dan cawangan parti bukan sekadar sebagai struktur organisasi, tetapi sebagai jentera hidup yang dekat dengan rakyat.
“Selain itu, prinsip inklusiviti mesti diterjemahkan secara nyata dalam kepimpinan, keanggotaan dan dasar perjuangan parti, selaras dengan aspirasi UPKO sebagai parti milik semua rakyat Sabah tanpa mengira etnik, agama, kawasan atau latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Donald menekankan keperluan melahirkan serta membimbing pemimpin muda sebagai pelapis perjuangan, sambil menegaskan bahawa masa depan Sabah tidak boleh dibina hanya dengan bergantung kepada kepimpinan lama semata-mata.
Beliau turut mengingatkan supaya UPKO bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memastikan suara Sabah dapat dibawa dengan bermaruah dan berprinsip, berasaskan kekuatan sebuah parti tempatan yang yakin dengan pendiriannya.
Mengulas sejarah perjuangan parti, Donald berkata UPKO lahir daripada semangat mempertahankan maruah Sabah, dengan keberanian pemimpin terdahulu termasuk Tun Fuad Stephens dan Datuk Peter Mojuntin menjadi asas kepada kewujudan parti itu.
“Keputusan kepimpinan UPKO sebelum ini termasuk peletakan jawatan oleh Presiden (Ewon Benedick) sebagai Menteri Persekutuan serta tindakan keluar daripada gabungan politik yang tidak lagi selari dengan aspirasi perjuangan parti mencerminkan kesinambungan nilai perjuangan sama.
“Seperti generasi terdahulu, kepimpinan UPKO hari ini memahami bahawa perjuangan untuk Sabah menuntut kesabaran, ketegasan serta keberanian untuk berkata tidak apabila prinsip terancam, dan inilah makna sebenar Sabah First,” katanya.
Menurutnya, kesetiaan ahli terhadap perjuangan parti kekal menjadi kekuatan utama UPKO sehingga kini, sekali gus membolehkan parti itu terus bertahan secara konsisten dalam landskap politik yang semakin mencabar.


















Comments