top of page

Infrastruktur, Ekonomi Biru dan kesejahteraan rakyat teras SMJ 2.0

  • nabalunews
  • 36 minutes ago
  • 2 min read

30 Januari 2026


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menekankan pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur dan kelestarian hijau sebagai teras utama pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.


Beliau berkata pembangunan modal insan terus diberi keutamaan menerusi peruntukan sebanyak RM164.01 juta, antaranya bagi peluasan skim biasiswa dan bantuan pendidikan, selain memperkukuh pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Menurutnya, inisiatif berkenaan turut merangkumi pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pelaksanaan latihan pertanian serta literasi kecerdasan buatan (AI).


“SMJ 2.0 juga meneruskan bantuan pendidikan, termasuk 14 jenis bantuan pendidikan bernilai RM203.4 juta dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025.


“Seramai 480,000 pelajar menerima manfaat bantuan pendidikan kerajaan, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) untuk permohonan biasiswa dan kemasukan perkhidmatan awam,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.


Menurut Hajiji, Program Rumah Mesra SMJ yang telah memberi manfaat kepada 7,482 penerima akan diteruskan tahun ini dengan 50 unit di setiap kawasan Dewan Undangan negeri (DUN), khususnya untuk golongan miskin, miskin tegar serta pasangan muda baru berkahwin.


Selain itu, katanya, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) turut diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta pada tahun ini, seiring dengan bantuan Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah.


“Sementara itu, dibawah teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, sejumlah RM6.8 bilion diperuntukkan dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga Lestari.


“Ia termasuk projek strategik antaranya Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan dan naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik dan projek OTEC, hidroelektrik serta penjanaan tenaga biru.


“Kerajaan turut memperluas infrastruktur digital melalui Pusat e-Desa, VSAT dan Starlink, selari agenda kerajaan digital berteraskan AI,” jelasnya.


Dalam aspek kelestarian hijau, beliau berkata, sebanyak RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas perubahan iklim, dengan sasaran 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang 2030.


Katanya, Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0, merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, serta pemanfaatan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.


“Kerajaan memperkenalkan Blue Financing melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan Maybank untuk penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan jumlah permulaan RM300 juta bagi memudahkan syarikat-syarikat terlibat mendapat kemudahan kewangan,” ujarnya.


Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar, dengan kecekapan, integriti dan disiplin mereka menentukan sejauh mana pembangunan dapat diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat.


Pada masa sama, beliau juga menegaskan kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, malah keputusan yang diambil adalah demi kepentingan jangka panjang Sabah walaupun kadangkala tidak popular.


“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama, memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan, dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat sekarang dan generasi akan datang,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page