top of page

Agong kurnia biasiswa kepada 13 penuntut IPT

  • nabalunews
  • Jul 16, 2025
  • 2 min read

16 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 kepada 13 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Istana Negara, hari ini.


Daripada jumlah itu, 10 daripadanya merupakan penerima biasiswa bagi pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) manakala tiga di peringkat Sarjana (penyelidikan).


Dua penerima biasiswa PhD dalam jurusan Farmakologi dan Farmasi ialah Mohamad Fariz Haiqal Mohd Ruslan yang melanjutkan pengajian di King's College London, United Kingdom dan Karen Low Ka Ling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Penerima biasiswa PhD lain ialah Muhammad Hamizan Zawawi (Biologi, Universiti Sains Malaysia), Muhamad Aiman Hakim Nor Khalid (Matematik dan Statistik, UKM), Sarah Dania Mohd Kahar (Undang-undang Komersial, Universiti Malaya (UM) dan Teoh Shu Jou (Pengurusan Data, UM).


Selain itu, Ahmad Firdaus Ahmad Sukri (Bioteknologi, USM), Nurul Angelyn Zulhairy Liong (Genetic dan Heredity, UM), Nur Zakirah Jasni (Sains Veterinar, University of Melbourne, Australia) dan Nurfatima Azzahra Fadli (Biokimia, UKM).


Penerima BYDPA yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana pula ialah Fatini Nadiah Mohammad Zamzami (Biokimia, UKM), Tiew Siew Jin (Bioteknologi, UPM) dan Yugashini P Muhilan (Biomedical Materials, UKM).


BYDPA merupakan biasiswa paling berprestij di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diperkenalkan pada 2006.


Program itu menaja warganegara Malaysia yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah aktiviti kokurikulum seperti terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau dalam penghasilan kerja mengandungi elemen kreatif dan inovatif.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, JPA sentiasa menambah baik dasar latihan dan program penajaan bagi memastikan sumber manusia yang berpengetahuan dan kompeten untuk keperluan strategik awam dan negara dapat dipenuhi.


“JPA berharap semua penerima dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya memberikan sumbangan bermakna kepada negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.


Sehingga kini, sebanyak 20 sesi penawaran dilaksanakan merangkumi 225 penerima iaitu 117 orang di peringkat PhD dan 108 orang di peringkat Ijazah Sarjana, untuk pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Ekonomi, Undang-Undang, Kewangan Islam, dan Kecerdasan Buatan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page