Angkara pelumba Jepun, Shah Firdaus terlepas gangsa
11 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Malaysia hampir-hampir memenangi satu lagi pingat di Sukan Olimpik, namun impian untuk menyaksikan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menjadi harapan terakhir memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 sudah berakhir.
Ia selepas pelumba negara berusia 28 tahun itu yang mendapat gelaran The Terminator, menamatkan perlumbaan final hari ini di kedudukan keempat.
Nasib nyata tidak menyebelahi Shah Firdaus apabila dia hampir-hampir meraih pingat gangsa namun malangnya terbabit dengan kemalangan bersama Jack Carlin (Great Britain) dan Shinji Nakano (Jepun) ketika dihujung perlumbaan.
Dengan perkembangan terkini itu, bermakna tamat sudah perjuangan atlet negara di Paris 2024 sekali gus menyaksikan Malaysia perlu menunggu empat tahun lagi di Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) untuk memburu emas pertama.
Bagaimanapun, ia masih lagi pencapaian terbaik Shah Firdaus pada penampilan keduanya di Sukan Olimpik selepas tersingkir di suku akhir ketika edisi Tokyo 2020.
Shah Firdaus, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022, menggalas tugas berat di bahunya selepas rakan sepasukan yang juga seniornya, Datuk Azizulhasni Awang tidak dapat meneruskan saingan.
Pelumba berusia 36 tahun itu dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin malam semalam akibat kesalahan mendahului pacer.
Kontinjen negara menamatkan saingan di Paris 2024 dengan meraih dua gangsa dalam sukan badminton menerusi beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia.
Comments