Anwar hubungi PM Kemboja dan Thailand, hargai keterbukaan untuk terus berunding
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

10 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul bagi membincangkan pergolakan yang tercetus di kawasan sempadan kedua-dua negara itu.
Anwar berkata, beliau menghargai keterbukaan dan kesediaan pemimpin Thailand serta Kemboja untuk terus berunding bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan sebarang salah anggap yang boleh memburukkan keadaan terutama di kawasan sempadan.
“Walaupun belum ada penyelesaian tuntas dicapai, usaha diplomasi berterusan telah memastikan tiada insiden lebih serius berlaku dalam beberapa jam yang kritikal ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau turut menegaskan Malaysia akan terus menyokong dialog aman, penyelesaian bersandarkan undang-undang antarabangsa serta kerjasama serantau bagi memastikan kestabilan dan keselamatan di rantau ASEAN terpelihara.
Terdahulu, media melaporkan lebih 500,000 orang telah melarikan diri dari kediaman ke kawasan selamat di Thailand dan Kemboja sejak tercetusnya semula konflik sempadan baru-baru ini.
Negara jiran Asia Tenggara itu berselisih faham mengenai sempadan sepanjang 800 kilometer yang ditetapkan semasa era kolonial, di mana tuntutan terhadap kuil-kuil bersejarah telah mencetuskan konflik bersenjata.


















Comments