- Wartawan Nabalu News
Anwar: Jangan jadikan perbezaan politik sebagai senjata permusuhan
25 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
NILAI: Semua pihak diminta supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai senjata permusuhan, sebaliknya sebagai cadangan untuk menjadi yang lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, ini berikutan banyak fakta yang tidak tepat dan fitnah dilemparkan, terutama di media sosial, oleh segelintir pihak mengenai usaha kerajaan untuk membantu rakyat.
Beliau memberi contoh isu perjanjian persempadanan yang ditandatangani antara beliau dengan Presiden Indonesia Joko Widodo, yang dikatakan bagaikan menjual maruah negara.
"Perkara ini hangat dikeluarkan di media sosial dengan penuh penipuan dan fitnah...ini masalah kita, tidak bolehkah perbezaan politik ini jangan kita jadikan senjata permusuhan, senjata fitnah.. tetapi jadikan perbezaan ini untuk bagi cadangan yang lebih baik, saya belum dengar lagi apa cadangan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Nilai, pada Sabtu.
Anwar juga menjelaskan bahawa kenaikan purata tarif eletrik hanya melibatkan pengguna dengan penggunaan melebihi 1,500 kilowatt jam (kwj), dan tidak membebankan golongan kurang berkemampuan.
"Tentang pengurangan subsidi elektrik, dia (pembangkang) kata kita bebankan rakyat, pengurangan ini dikurangkan kepada pengguna 1,500 kWj... tetapi kempen (pembangkang) kata ia beban kepada rakyat...siapa yang buat keputusan nak naikkan dulu? Kerajaan terdahulu (Perikatan Nasional) buat keputusan itu, ada hitam putih," katanya.
Tambah beliau, kerajaan bersetuju untuk tidak menambah hutang lagi kerana memahami impak yang akan ditanggung pada masa akan datang.
"Hutang lebih RM1 trilion untuk diselesaikan dalam setahun atau dua tahun, ia tidak mudah, tetapi kita akan cuba, kerajaan tanggung defisit 5.6 peratus...dalam jemaah menteri, kita putuskan jangan hutang lagi," katanya.
Comments