top of page

Anwar zahirkan simpati, beri jaminan SAR cari wanita warga India diteruskan

  • nabalunews
  • Aug 25, 2024
  • 2 min read

25 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warganegara India yang terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, akan diteruskan.


Anwar yang menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy berusia 48 tahun itu, berkata beliau telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menemui keluarga mangsa.


“Saya sudah minta DBKL jumpa keluarga (mangsa) dan kita lahirkan simpati (dengan kejadian) dan kerja (SAR) harus diteruskan. Ada masalah dengan tanah itu, kita kena selesaikan,” katanya kepada pemberita, lapor Bernama.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.


Pada insiden 8.22 pagi Jumaat (23 Ogos), mangsa sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, sebelum tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus.


Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.


Difahamkan mangsa dan keluarganya dijadualkan pulang ke India pada esok harinya (Sabtu) selepas dua bulan melancong di negara ini.


Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur adalah disebabkan oleh faktor geografi dan struktur tanah kawasan tersebut.


Beliau berkata struktur tanah berbatu kapur yang terdapat di kawasan itu, mempengaruhi pergerakan air bawah tanah selain menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya mengakibatkan tanah jerlus.


“Kadang-kadang kita tidak boleh menyangka bila dan di mana tanah jerlus ini akan berlaku.


“Bukan sahaja di Malaysia, tetapi fenomena ini juga berlaku di seluruh dunia, terutama di kawasan yang mempunyai batu kapur dan keadaan geologi tertentu,” katanya selepas majlis Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja di Kuching, hari ini.


Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dengan adanya teknologi yang canggih pada masa akan datang, beliau berharap kejadian tersebut dapat dikurangkan dan langkah pencegahan awal dapat diambil.


“Kita tidak boleh meramalkan dengan tepat bila tanah jelus akan berlaku, dengan pengetahuan dan teknologi yang betul, kita boleh mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi komuniti dan mengurangkan kesan daripada kejadian ini,” katanya.


Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan dengan fokus pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam dengan bantuan enam anggota dari Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page