• nabalunews

AUSTRALIA LANCAR PELAN COVID-19 UNTUK ATLET OLIMPIK TOKYO



15 DIS 2020


SYDNEY: Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) melancarkan projek khas untuk membantu atlet menguruskan kesulitan disebabkan COVID-19 sebelum, semasa dan selepas Olimpik Tokyo 2020.

Pegawai AOC ketika mengumumkan inisiatif itu berkata projek berkenaan dikenali “Wagasa” bermaksud payung dalam bahasa Jepun, lapor Agensi Berita Xinhua.

Atlet akan di sokong supaya kekal cergas dan sihat ketika menyertai acara kelayakan, kem latihan pra-pertandingan, dan semasa kejohanan berlangsung termasuk setelah kembali ke Australia.


"Acara akan diadakan dan kami menunaikan janji kami. Tugas kami adalah mengurangkan masalah dan kesulitan logistik kepada atlet yang layak untuk menyertai acara itu dan mengumpulkan pasukan Australia tahun depan bagi menikmati detik-detik Olimpik mereka," kata Ketua Eksekutif AOC Matt Carroll.

"Ini adalah projek besar - dengan mengambil kira kesukaran perjalanan mereka dari Australia, dapat bersaing dengan selamat dan kemudian pulang selepas pertandingan. Semua ini merangkumi perubahan sekatan perjalanan global, peraturan kuarantin dan beberapa perubahan dalam acara serta faktor-faktor lain.”

AOC mengumumkan kerjasama dengan pakar kesihatan Aspen Medical untuk menyediakan nasihat dan perkhidmatan yang sesuai bagi membantu proses tersebut.

Chef de Mission untuk pasukan Olimpik Tokyo 2020, Ian Chesterman berkata keselamatan atlet sangat penting.

"AOC telah bergerak proaktif dalam menyediakan nasihat dan jaringan keselamatan terbaik untuk atlet dan staf sokongan ketika kami bersiap-siap menghadapi acara itu, dan ketika ia berlangsung,” kata Chesterman. - Bernama