Bank Rakyat padam paparan “Fakta Merdeka” selepas teguran netizen
28 Ogos 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Bank Rakyat telah memadam paparan di laman facebook mereka mengenai Fakta Merdeka yang menyatakan Malaysia dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu dan Malayan Union semasa pemerintahan Inggeris.
Dalam paparan tersebut juga, ia menyatakan negara ini dikenali sebagai Malaysia selepas menandatangani perjanjian pada tahun 1957.
Bagaimanapun, paparan tersebut menerima kritikan dan teguran daripada pemimpin dan rakyat terutamanya dari Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Ewon Benedick turut mengongsikan paparan tersebut semasa masih aktif di laman facebook dan twitter beliau disusuli dengan komen “menyekolahkan” Bank Rakyat mengenai sejarah Malaysia.
Ewon menyatakan bahawa negara Malaysia hanya wujud selepas tahun 1963 selepas Perjanjian Malaysia ditandatangani oleh Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu, justeru tidak ada nama lain sebelum tahun 1963 kerana ianya sebuah negara yang baharu.
Netizen di media sosial juga mempertikaikan paparan “Fakta Merdeka” tersebut dan meminta Bank Rakyat membuat permohonan maaf walaupun sudah memadam paparan tersebut.
Presiden Tonibung Adrian Lasimbang berkata, institusi besar seperti Bank Rakyat tidak sepatutnya memaparkan maklumat sejarah Malaysia yang salah.
“Sejak bila Malaysia dikenali sebagai Tanah Melayu? Persekutuan Malaysia hanya tertubuh pada 16 September 1963 melalui perjanjian Malaysia antara Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak! Apa perlunya fakta yang ingin dipesongkan?,” katanya yang juga Pengarah Pendidikan Politik, DAP Sabah.
Sementara itu Chonnel George berkata, hantaran Facebook yang dimuatnaik oleh Bank Rakyat berkenaan sejarah Malaysia agak patriotik jika dilihat dari satu sisi, tetapi dangkal dari sudut faktanya.
“Frasa yang disebut cuma tertumpu kepada Persekutuan Tanah Melayu sahaja dalam Pembentukan Malaysia, seolah-olah menafikan penyertaan entiti Sabah dan Sarawak yang menjadi rakan setara dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
“Tarikh ini adalah tarikh keramat yang patut dijulang kerana di sinilah titik bermulanya penjenamaan Malaysia yang menggabungkan tiga entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Jane seorang Guru Sejarah, ia sepatutnya tidak berlaku dalam organisasi besar seperi Bank Rakyat.
“Saya sangat kecewa sebab Bank Rakyat sebagai sebuah organisasi besar sepatutnya tidak salah post benda begini.
“Macm mana kita mau maju sebagai sebuah negara bangsa kalau sebuah organisasi besar pun tidak mempunyai pekerja yang peka akan Sejarah negara. Ini amat memalukan!,” katanya.
Katanya lagi walaupun paparan di Facebook Bank Rakyat itu sudah dipadamkan namun mereka perlu meminta maaf atas kesilapan itu dan membuat pembetulan.
Seorang lagi netizen berharap, perkara seumpana itu tidak berulang.
Katanya, Malaysia hanya wujud pada 16 September 1963, dan sebelum ini tidak ada negara Malaysia.
“Apa yang ada ialah Tanah Melayu atau Malayan Union yang sekarang ini kenali Semenanjung dan pernyataan ini mengelirukan.
“Sebaiknya orang yang bertanggungjawab perlu menyelami sejarah penubuhan Malaysia sebelum memaparkan sesuatu berkaitan Malaysia,” katanya.
Comentários