- Wartawan Nabalu News
BAYARAN BALIK PINJAMAN PTPTN DITANGGUH TIGA BULAN: NORAINI

10 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) kepada peminjam yang layak selama tiga bulan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui Portal Rasmi PTPTN mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.
“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan diluluskan. Butiran berkenaan pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN," katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.
Noraini berkata, keputusan ini diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam PTPTN dan penangguhan khas bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang terkesan tiga bulan di antara Januari 2021 hingga Mei 2021.
"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN," katanya.
Pertanyaan lanjut hubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.