Belanjawan 2024: Kerajaan sedia RM44 bilion untuk PMKS - Anwar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Belanjawan 2024: Kerajaan sedia RM44 bilion untuk PMKS - Anwar

13 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan komited untuk memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan pinjaman dan jaminan pembiayaan berjumlah RM44 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata ini sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat, yang bertujuan untuk menyokong usahawan PMKS selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.


"Keutamaan Kerajaan adalah untuk menyokong peningkatan kapasiti perniagaan serta daya saing dalam melonjak pertumbuhan pendapatan rakyat dan negara," katanya.


Anwar berkata, usahawan mikro dan peniaga kecil boleh mendapatkan pinjaman kecil daripada agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN, dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion.


"RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan," katanya.


Tambah beliau, RM330 juta di bawah TEKUN adalah untuk peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak, manakala RM30 juta daripadanya adalah untuk masyarakat India.


"Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan," katanya.


Anwar juga berkata, syarikat PKS boleh mendapatkan dana pinjaman RM8 bilion di bawah BNM, dengan RM600 juta dikhususkan untuk perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.


"Bagi tahun 2024, RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan," katanya.


Beliau juga menyatakan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100,000 PKS, merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.


"Bermula tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion," katanya.


Anwar juga berkata, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta bagi menyokong fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang memberikan bantuan kewangan kepada golongan miskin tegar.


"Tahun hadapan, RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi," katanya.

bottom of page