top of page
  • nabalunews

Belanjawan 2024: KUSKOP harap peruntukan lebih besar, manfaat usahawan seluruh negara


1 Oct 2023


KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap mendapat peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan usahawan di seluruh negara terus menerima manfaat.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata pasti ada berita baik untuk usahawan seluruh negara dalam Belanjawan MADANI yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 13 Okt ini.


“Kita telah cadangkan jumlah yang lebih besar untuk Belanjawan 2024 berbanding RM732 juta pada tahun ini selepas mengambil kira input dari pelbagai pihak berkepentingan di seluruh negara.


“Kita telah kumpulkan, rumuskan serta kemukakan (data-data) kepada Kementerian Kewangan. Ketika ini hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu… tapi saya amat yakin kita akan dapat jumlah yang lebih baik daripada yang diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kampus Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) cawangan Sarawak di sini hari ini.


Sementara itu, Ewon berkata baru-baru ini kementerian itu telah memperuntukkan sejumlah RM10 juta geran khusus untuk usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus.


“Jumlah yang kita sediakan ini dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia di bawah Mikro MADANI bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.


“Sebelum pembentangan Belanjawan 2024, kementerian sudah beri berita baik. Untuk usahawan Sabah dan Sarawak boleh memohon secara dalam talian sekarang,” katanya.


Sementara itu, dalam ucapannya Ewon berkata pembukaan kampus itu yang dilengkapi dengan bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta dalam satu masa, akan memudahkan usahawan Sarawak mengakses program anjuran INSKEN.


“Fasiliti lengkap yang disediakan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran dan pembangunan usahawan selain kos efektif untuk menjalankan program latihan dan bimbingan.


“Kelebihan lain Kampus INSKEN di Sarawak adalah lokasi strategik di bandar bagi mudah diakses semua usahawan dan peserta program daripada kawasan sekitar selain memudahkan kerjasama pihak berkepentingan,” katanya. - Bernama

Comments


bottom of page