top of page

Bertrand Rhodict kandas di pusingan kelayakan

  • nabalunews
  • Aug 9, 2024
  • 1 min read

9 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Hasrat penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises untuk melangkah ke separuh akhir acara 10 meter (m) platform individu lelaki Sukan Olimpik Paris tidak kesampaian selepas terkandas di pusingan kelayakan.


Penerjun berusia 19 tahun itu terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan ke-25 daripada 26 peserta dengan catatan keseluruhan 313.70 mata pada aksi di Pusat Akuatik Paris.


Hanya 18 penerjun terbaik daripada pusingan kelayakan mara ke separuh akhir.


Bertrand bermula positif apabila mengumpul 66 mata di terjunan pertama dan 60.80 mata di terjunan kedua untuk menduduki tangga ke-16 selepas dua terjunan.


Bagaimanapun, prestasi Bertrand mula menurun bermula terjunan ketiga apabila dia hanya mengutip 49.50 mata diikuti 34 mata di terjunan keempat dan 37.80 mata di terjunan kelima sekali gus terkeluar dalam kelompok 18 terbaik.


Atlet kelahiran Sarawak itu cuba melakukan kebangkitan pada terjunan terakhir apabila dia mengutip 65.60 mata namun ia masih belum cukup untuk melonjakkan dirinya dalam kelompok 18 terbaik bagi layak ke separuh akhir.


Pusingan kelayakan diungguli juara bertahan dari China, Cao Yuan yang berada di kedudukan pertama selepas mengutip keseluruhan 500.15 mata diikuti penerjun Jepun, Rikuto Tamai kedua dengan 497.15 mata manakala atlet Kanada, Rylan Wiens ketiga dengan 482.25 mata.


Untuk rekod, ini adalah penampilan pertama Bertrand di pentas Olimpik.


Dia menjadi atlet pertama negara yang mengesahkan tiket ke Paris selepas menduduki tempat ke-10 ketika separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun pada Julai 2023.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page