- Wartawan Nabalu News
Dewan Rakyat hargai sumbangan Mutang Tagal, Joseph Kurup
24 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat memulakan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga hari ini dengan bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal dan Tan Sri Joseph Kurup.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menyatakan bahawa mendiang adalah seorang pemimpin yang komited terhadap usaha reformasi institusi Parlimen dan sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat.
"Mendiang juga merupakan mantan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Bukit Mas dari tahun 1982 hingga 1990. Mendiang merupakan seorang pemimpin yang komited dalam usaha mereformasi institusi Parlimen Malaysia dan amat prihatin akan kebajikan rakyat Malaysia," kata Johari.
Mendiang Datuk Mutang meninggal dunia pada 10 Mei lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau telah dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024, menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan setelah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.
Dewan turut merakam ucapan takziah buat keluarga, tokoh politik Tan Sri Joseph Kurup yang telah meninggal dunia pada 17 April lalu.
Mendiang merupakan mantan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Pensiangan dan pernah menjadi Anggota Pentadbiran Persekutuan di beberapa kementerian.
Comentários